Jangan jadikan ranking matlamat utama universiti - NC UiTM - Utusan Malaysia

Jangan jadikan ranking matlamat utama universiti – NC UiTM

Ranking UiTM
SHAHRIN Sahib @ Sahibudin berucap pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-98 UiTM dekat Dewan Agung Tuanku Canselor di UiTM Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Universiti Teknologi Mara (UiTM) meneruskan matlamat dengan peranan mengangkat martabat masyarakat Melayu dan Bumiputera melalui pendidikan yang menjadi asas penubuhan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) terbesar itu.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib @ Sahibudin berkata, beliau bersama UiTM enggan terjebak dengan permainan penentuan kedudukan atau ranking melalui penilaian pihak tertentu dalam menentukan kedudukan universiti itu.

Menurutnya, sebaliknya menjadikan penarafan yang diterima selama ini dan pada masa hadapan sebagai kayu ukur kepada kedudukan universiti dan tidak menjadikannya sebagai matlamat utama hala tuju UiTM.

Ranking bukan matlamat, sebaliknya wasilah atau kaedah iaitu satu jalan yang kita guna untuk mencapai satu matlamat lebih besar. Apa matlamat lebih besar bagi kami UiTM asal undang tubuh bagi melahirkan profesional Melayu dan Bumiputera.

“Pertama mesti selesaikan dari sudut sosio-ekonomi, kena pastikan ada makanan di atas meja. Maksudnya, anak Melayu yang ada bukan masalah kepada masyarakat dan tidak bergantung kepada bantuan, dia boleh hidup,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Ke-98, hari ini.

Jelasnya, ranking menjadi refleksi kepada universiti supaya dapat dilihat dan membuka ruang kerjasama antara institusi pengajian tinggi lain di dalam dan luar negara.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar ranking QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa kerana pendekatan tersebut tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap penanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Lebih membimbangkan, penarafan tersebut dilakukan oleh sebuah badan swasta bersifat komersial, bukan ilmiah dan bebas sekali gus seolah-olah menunjukkan pendidikan adalah barang dagangan yang mudah dijual beli.

Justeru, Shahrin ketika ditemui mengingatkan universiti tidak sepatutnya hanyut dalam mengejar kedudukan dalam penarafan tertentu sehingga menjejaskan matlamat utama penubuhannya.

“Ada seorang maharaja sebuah negara yang hebat, untuk dilihat lebih bertamadun penasihat raja memberitahu nasihat makan dengan copstik, kemudian buang pinggan guna mangkuk, buang tikar duduk di kerusi meja makan.

“Kalau kita terjebak dengan permainan itu (ranking) maka kita akan membuang pinggan, tikar.. tamadun kita hilang. Hanya hendak dilihat orang bertamadun dan maju. 

“Tidak salah untuk kita masuk ranking, tetapi maksud saya kalau tercapainya, alhamdulillah sangat bersyukur kita sudah pun top 100, pencapaian yang bukan senang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya