Jalan Bukit Cherakah dibuka semula 24 Disember depan - Utusan Malaysia

Jalan Bukit Cherakah dibuka semula 24 Disember depan

Jalan Bukit Cherakah
NUR Hafidzan Idris (dua, kiri) dan Dzulkefly (dua, kanan) meninjau penutupan Jalan Bukit Cherakah, Puncak Alam, Kuala Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Lebih 80,000 pengguna yang terkesan akibat penutupan Jalan Bukit Cherakah, Bandar Puncak Alam di sini, boleh menarik nafas lega apabila laluan itu dijangka dibuka semula kepada kenderaan pada 24 Disember depan.

Jalan Persekutuan (FT) 1210 itu ditutup sejak Mei lalu berikutan kerja membaik pulih jalan yang mendap akibat insiden paip pecah sehingga menimbulkan rungutan kepada pengguna kerana masih belum diselesaikan sehingga kini.

Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuala Selangor, Nur Hafidzan Idris berkata, keluasan kebocoran paip bersaiz 2,200 milimeter (mm) di laluan itu melibatjan jajaran berkeluasan 25 hingga 30 meter.

Katanya, laluan sepanjang 870 meter itu terpaksa ditutup dan dilencongkan ke laluan Eco Grandeur kerana mendap serta tidak selamat digunakan.

“Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) melaksanakan kerja penggalian sedalam 10 meter dan mengesan tiga kali kejadian paip pecah.

“Justeru, kerja itu bukan penyelenggaraan namun pembaikan menyeluruh dan baharu yang mengambil masa agak panjang,” katanya ketika meninjau lokasi itu bersama Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, hari ini.

Jelas Nur Hafidzan, Air Selangor selaku pihak bertanggungjawab bagi membaik pulih jalan itu memberi komitmen jalan itu siap mengikut spesifikasi ditetapkan.

“JKR selaku pihak autoriti utama akan membantu dari segi penyeliaan dan pemantauan bagi memastikan tarikh pada 24 Disember depan dapat dipatuhi. Namun, pembukaan jalan itu turut bergantung kepada faktor cuaca sepanjang tempoh berkenaan terutama menghadapi Monsun Timur Laut,” jelasnya.

Sementara itu, Dzulkefly berkata, tiga kejadian paip pecah yang bersaiz besar berlaku di laluan sama dan pihak bertanggungjawab sedang berusaha menyelesaikan masalah itu secepat mungkin.

“Justeru, saya berharap pengguna dapat memahami punca sebenar penutupan jalan itu dan ia memerlukan masa untuk dibaik pulih. Saya percaya segala kesulitan itu akan berakhir dan penduduk juga mendapat manfaat selepas kerja ini siap sepenuhnya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya