PUTRAJAYA: Seorang pengguna media sosial tempatan menawarkan habuan wang tunai RM5 juta bagi sesiapa berjaya membunuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perkara itu didedahkan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim ketika ditemui pemberita pada kongres parti tersebut di sini hari ini.
“Netizen ini menggunakan akaun tulen atas nama Jaiadani89 yang memaparkan video menerusi aplikasi TikTok mengugut Perdana Menteri dengan ganjaran lumayan,” katanya.
Hantaran tersebut ujar beliau, mula disedarinya yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu pada pukul 9.30 pagi tadi ketika mengikuti acara tahunan parti berkenaan.
Susulan itu, Pegawai Khasnya, Mohamad Syazreen Ezam Mohd. Saidi membuat laporan terus di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini kira-kira pukul 1.43 tengah hari.
Berdasarkan hantaran itu, Muhammad Kamil percaya, warganet tersebut dipercayai cuba menyebarkan sentimen kebencian dan hasutan kepada rakyat atas motif berbaur politik.
Walau bagaimanapun, beliau yang juga peguam, menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan lanjut kerana kes itu jelas di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.
“AMK berasa kesal dengan ancaman keras sebegini kerana jika tidak dikawal dibimbangi boleh memusnahkan sistem sosial tanah air yang terdiri masyarakat majmuk,” tegasnya.
Pada masa sama tambah beliau, meskipun video tersebut sudah pun dipadam, hantaran rakaman berkenaan masih lagi boleh ditonton netizen menerusi aplikasi sosial popular X. – UTUSAN