PETALING JAYA: Malaysia perlu mengelak gawang daripada dibolosi dengan gol-gol mudah hasil kesilapan individu menjelang pertemuan dengan Taiwan bagi aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa ini.
Biarpun Harimau Malaya berjaya melakar kebangkitan dramatik 4-3 ke atas Kyrgyzstan dalam aksi pembukaan Kumpulan D yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis lalu, namun aksi barisan pemain pertahanan negara masih belum cukup meyakinkan.
Tambahan Taiwan yang dibimbing Garry White mempunyai sistem permainan yang lebih terancang sejak membimbing pasukan itu pada 2017, sehingga berjaya menaikkan ranking dunia pasukan yang diberi jolokan ‘Sayap Biru’ dari tangga ke 161 ke tangga 121 pada 2018.
Selain itu, Taiwan turut mempunyai penggempur naturalisasi dari Ivory Coast, Ange Samuel Kouame yang dijangka memberi ancaman besar buat Harimau Malaya memandangkan dia mempunyai reputasi sebagai Pemain Paling Bernilai Liga Perdana Taiwan musim lalu dengan meledak keseluruhan 11 gol bersama kelab Tainan City.
Justeru, pemain pertahanan, Daniel Ting merasakan mereka mempunyai banyak kerja rumah untuk diselesaikan dalam tempoh tiga hari ini sebelum membuat perhitungan dengan Taiwan di Stadium Municipal Taipe pada Selasa ini.
“Untuk perlawanan seterusnya, saya rasa kami perlu meneruskan rentak kami menjaringkan lebih banyak gol, dan yang paling jelas, kami perlu elak daripada memberikan ruang kepada pihak lawan.
“Ini adalah satu isyarat untuk kami bangkit berdasarkan perlawanan itu kerana kalau boleh kami mahukan tamatkan permainan tanpa sebarang jaringan bolos.
“Barisan kejurulatihan telah pun melakukan tugas mereka untuk membuat analisis tentang pasukan Taiwan, dan untuk beberapa hari ini kami akan mengkaji gaya permainan mereka. Untuk saya, saya akan cuba memberikan perhatian terhadap beberapa pemain sayap dan penyerang mereka, menonton perlawanan-perlawanan mereka sebelum ini sebagai kerja rumah.
“Jika saya dipilih untuk membarisi kesebelasan utama, sudah tentu saya akan gembira. Tetapi kami di sini sebagai satu pasukan, tidak kira sama ada saya berada di atas padang beraksi atau di bangku simpanan, saya tetap akan memberikan yang terbaik kepada pasukan,” kata Daniel. – UTUSAN