KEMAMAN: Barisan Nasional (BN) mengakui Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman bukan satu jalan yang mudah, namun yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu sekaligus menjadikan Kemaman kembali ‘biru ori’.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kekuatan personaliti yang ada pada calon BN, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan kestabilan kerajaan Pusat pastinya akan menjadi pemangkin ekonomi dan kemakmuran Parlimen itu.
“Sudah sampai masanya rakyat memilih wakil untuk berkhidmat bukannya memilih pakatan parti yang asyik dengan percaturan politik ‘dah cukup jumlah’ yang tidak henti-henti.
“Biarlah wakil yang mewakili rakyat Kemaman ini dapat fokus mentadbir Parlimen dan dapat berhubung terus dengan kerajaan Perpaduan untuk urusan kemajuan yang lebih mudah dan tersusun rapi,” katanya menerusi satu kenyataan akhbar, hari ini.
Timbalan Perdana Menteri itu berkata, perlu diakui, Terengganu memerlukan seorang pemimpin yang dapat memberi fokus bagi membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan menyimpan hasrat hati untuk menambah lagi jawatan.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin pengundi Kemaman bijak menilai yang terbaik untuk kesejahteraan Parlimen itu.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan jentera BN untuk berkempen secara sihat serta berhemah dan tidak terikut cara lawan yang sarat dengan caci maki dan fitnah.
Dalam pertembungan satu lawan satu, PRK Kemaman yang berlangsung 2 Disember ini menyaksikan pertembungan antara Raja Mohamed Affandi dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Abd. Hamid pada 26 September lalu. – UTUSAN