Isu kewarganegaraan: Kerajaan perlu hormat pandangan Majlis Raja-Raja - Utusan Malaysia

Isu kewarganegaraan: Kerajaan perlu hormat pandangan Majlis Raja-Raja

ANWAR Ibrahim ketika sidang akhbar selepas merasmikan Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 Grand Finale di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menegaskan terdapat had tertentu yang perlu dipatuhi oleh kerajaan dalam isu kewarganegaraan kerana ia melibatkan Majlis Raja-Raja.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu mengambil kira dan menghormati pandangan Majlis Raja-Raja berhubung isu pemberian kerakyatan tersebut.

“Kita akan maklumkan kepada mereka (Ahli Parlimen) kerana ini telahpun dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja. Terdapat had mengenai apa yang kita boleh lakukan selepas perbincangan (dilakukan).

“Persidangan Majlis Raja-Raja sudah mengambil pendirian (mengenai isu kewarganegaraan), jadi kita perlu menghormatinya,” katanya kepada media selepas melancarkan Ekspo Digital Malaysia (MDX) 2023 di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dan Timbalannya, Teo Nie Ching.

Terdahulu media melaporkan, seorang Ahli Parlimen DAP memberitahu terdapat kemungkinan ahli-ahli Parlimen tidak sefahaman dan akan menentang arahan Ketua Whip di Dewan Rakyat, jika kerajaan tidak menangani dengan baik isu lapan cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan.  

Dalam ciapan di aplikasi X hari ini, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berkata, ini sekiranya kerajaan tidak mengasingkan cadangan pindaan undang-undang yang diterima  ahli parlimen manakala sebahagian lagi tidak dipersetujui.

Pada 18 Julai lalu, Utusan Malaysia melaporkan, Majlis Peguam bimbang berhubung cadangan kerajaan meminda beberapa perkara dalam Perlembagaan membabitkan kewarganegaraan.

Bagi mereka, ini kerana pindaan tersebut berisiko menyukarkan proses membolehkan anak kepada wanita rakyat Malaysia dan pasangan warga asing yang lahir di luar negara mendapatkan kerakyatan negara ini.

Kegusaran itu timbul disebabkan lapan cadangan pindaan Perlembagaan meletakkan banyak syarat, yang dianggap pengamal undang-undang sebagai bukan keperluan utama berkaitan pemberian kewarganegaraan ketika ini. 

Majlis Peguam hanya mahu kerajaan meminda Perlembagaan pada perkataan ‘bapa’ dalam Bahagian I Seksyen 1(1)(d) dan Seksyen 1(1)(e) dan Bahagian II, seksyen 1(b) dan Seksyen 1(c) Jadual Kedua diganti dengan perkataan ‘ibu bapa’. 

Katanya, pindaan itu perlu diluluskan terlebih dahulu manakala isu berlainan berkaitan kewarganegaraan dikategori sebagai ‘backburner’ atau perbincangan lanjut. 

Pada Februari lalu, kerajaan bersetuju memberi kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan warga asing.

Dalam kertas cadangan sebanyak 10 halaman dilihat Utusan Malaysia, cadangan pindaan lain dikemukakan antaranya berkaitan pemberitahuan kelahiran dalam tempoh satu tahun dari tarikh lahir anak. 

Cadangan lain antaranya memadam perkataan pemastautin tetap dalam Jadual Kedua Bahagian II (Perkara 14(1)(b); meminda ‘tarikh perkahwinan’ dengan ‘tarikh pendaftaran’ dan memasukkan keperluan asas untuk kemahiran berbahasa Melayu dalam Perkara 15(1) Perlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya