ALOR SETAR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menegaskan, jadual penanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengikut jadual ditetapkan di sebalik masalah berkaitan benih padi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini hanya 20 peratus petani yang belum menerima bekalan benih padi sah (BPS).
“Sebanyak 80 peratus kawasan sudah memulakan proses penanaman padi sementara bakinya akan bermula 1 Disember ini. Musim padi sekarang masih ikut jadual penanaman. Tidak ada berlaku kelewatan. Menjelang 1 Disember ini semua kawasan sawah di MADA akan ditabur benih,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Solidariti Palestin, di sini hari ini.
Akhbar ini melaporkan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) semalam memberitahu, di sebalik tambahan BPS ke Kedah dan Perlis baru-baru ini namun agak terlewat kerana diagih pada fasa akhir menabur esok.
Kerajaan baru-baru ini meluluskan serta-merta pengagihan BPS ke Kedah dan Perlis bagi menyelesaikan masalah ketiadaannya sejak beberapa minggu lepas.
Mengulas lanjut kata Mohamad, kementerian juga pada masa yang sama akan mempertimbangkan bagi menambah kuota BPS kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berbanding 30 peratus ketika ini bagi mengelak sebarang manipulasi harga atau ketirisan.
“Kita akan kaji pada tahun depan. Kerajaan akan cuba naikkan peruntukan kuota benih kepada GLC ini dan kita akan periksa kemampuan mereka. Kalau mampu tinggi kita bagi.
“Kedua, kita juga akan buat stok benih padi lebih kurang 50,000 tan metrik. Kalau sesuatu berlaku kita masih ada stok benih padi ini,” katanya. – UTUSAN