IPTA tidak perlu taksub kejar penarafan – KPT - Utusan Malaysia

IPTA tidak perlu taksub kejar penarafan – KPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengingatkan semua institusi pe­ngajian tinggi awam (IPTA) supaya tidak terlalu taksub dalam mengejar kedudukan atau ranking universiti terbaik pe­ringkat antarabangsa.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ketaksuban itu dilihat boleh menimbulkan persaingan sehingga menyebabkan masing-masing tidak mahu berkongsi kepakaran serta penemuan baharu.

Menurutnya, penentuan ke­dudukan sesebuah IPTA tidak dijadikan sebagai ukuran memandangkan semua universiti diwujudkan dengan tujuan dan matlamat yang berbeza.

“Kita (IPTA) tidak perlu beri penekanan kepada ranking (penarafan) dan tidak perlu taksub sebab kita ingat sudah ada ba­nyak kenyataan dan penulisan mengenai ranking dan banyak juga badan antarabangsa yang melahirkan kebimbangan supaya kita tidak terima ran­king ini bulat-bulat.

“Ia (kedudukan) tidak boleh mengukur secara umum semua universiti kerana setiap universiti diwujudkan untuk tujuan dan matlamat berbeza kerana ukuran yang digunakan antaranya ada yang lebih sesuai untuk negara maju.

“Ada (kedudukan) tidak sesuai untuk IPTA di banyak negara lain,” katanya pada pemberita selepas Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Dewan Utama, Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, di sini semalam.

Mohamed Khaled membe­ritahu, ranking hanya boleh digunakan untuk lihat di mana kedudukan dan bukannya dijadikan sebagai asas sebuah universiti itu baik, cemerlang atau tidak.

Katanya, antara aspek utama yang ditekankan dalam sistem pendidikan tinggi adalah kerjasama bersepadu dalam perkongsian sumber dan kepakaran serta bergerak secara strategik bagi membangunkan kepakaran yang ada.

Media sebelum ini melapor­kan, semua universiti tidak boleh terlalu taksub mengejar ranking QS World University Rankings atau penarafan universiti antarabangsa kerana pendekatan itu tidak relevan apabila timbul percanggahan dan ketelusan terhadap pe­nanda aras digunakan.

Ini kerana Institut Antarabangsa Berkaitan Global Universiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNU) pernah membangkitkan soal ketelusan kaedah dan kualiti data digunakan QS ketika membuat penarafan sesebuah universiti.

Dalam perkembangan lain Mohamed Khaled berkata, hospital pengajar adalah sesuatu elemen penting dalam sistem pendidikan tinggi negara terutamanya membabitkan IPTA yang terlibat dalam bidang perubatan.

“Setakat ini, sebanyak lapan universiti sudah mempunyai hospital pengajarnya termasuk HUSM antara yang terawal. Menerusi hospital pengajar, kita menekankan tiga aspek iaitu menyediakan rawatan, penyelidikan serta kajian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN