IPT tempatan perlu berani berubah untuk kekal relevan -MQA

IPT tempatan perlu berani berubah untuk kekal relevan -MQA

Mohammad Shatar ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa MQA (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Institusi pendidikan tinggi (IPT) perlu berani berubah untuk kekal relevan dalam dunia pendidikan tinggi nasional dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, IPT disaran terus berinovasi dengan menawarkan program unik menerusi bidang tujahan masing-masing.

Beliau berkata, IPT di Malaysia perlu menjadi pelopor atau pencipta trend dalam penawaran program dan tidak terikut-ikut dengan negara luar terutama dari Barat.

“Jangan fikir apabila IPT di Barat tidak menawarkan sesuatu program, mengapa kita perlu buat? persoalannya, mengapa perlu tunggu orang lain buat baru kita nak buat? Sekiranya kita terus berfikiran demikian, kita akan hanya mampu menjadi pengikut dan bukan pemimpin, justeru kita perlu jadi perintis.

“Apabila satu dunia tak buat, kita buat., masyarakat global akan datang kepada kita seterusnya membantu menjayakan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjadikan negara ini hab bakat dan ilmu sejagat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa MQA (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Sambil menambah pendidikan tinggi negara ini antara yang terbaik di dunia, Mohammad Shatar berkata, dalam konteks pembelajaran sepanjang hayat (PSH), Malaysia menjadi antara pemain utama dalam penawaran kursus micro-credentials.

Katanya, pendidikan tinggi tempatan mempunyai kekuatan, kehebatan dan keunikan tersendiri terutama dalam PSH.

“Jadi, IPT kita perlu terus menawarkan program yang hebat tanpa perlu mengikut trend dari negara luar namun masih tidak mengetepikan atau tidak berkompromi dengan elemen kualiti,” katanya.

Mohammad Shatar berkata, di Malaysia, terdapat 20 universiti awam (UA) dan lebih 400 IPT swasta, justeru pastinya banyak idea dan pengalaman boleh dikongsikan dalam penawaran program yang unik dan bukan hanya menjadi pengikut kepada trend dari negara luar.

Beliau berkata, IPT tempatan perlu keluar dari sempadan Malaysia dan bergiat aktif menyertai acara pendidikan tinggi bertaraf antarabangsa seperti seminar serta menjadi pengucaptama dalam persidangan supaya lebih menonjol di persada global.

Katanya, inisiatif menonjolkan tujahan IPT akan memberi kemudahan kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk memilih universiti mana yang perlu memimpin sesuatu inisiatif bagi tujuan membantu negara apabila diperlukan.

“Selain itu, apabila Malaysia mahu berkolaborasi dengan negara luar yang inginkan kepakaran dalam sesuatu bidang dari negara kita, mudah untuk kita mengenal pasti universiti yang terlibat.

“Sekiranya usaha ini tidak dilakukan, sukar bagi masyarakat dunia untuk mengenali Malaysia dan kemampuan sebenar negara dalam konteks pendidikan tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya