IPD Padang Besar akan dibangunkan semula tahun hadapan - Utusan Malaysia

IPD Padang Besar akan dibangunkan semula tahun hadapan

SAIFUDDIN Nasution Ismail (dua dari kiri) menerima cenderahati selepas Lawatan Kawasan Operasi Ke Markas Taktikal (Martak) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (1) Kuala Perlis, Perlis, hari ini.-UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar bakal menjalani proses pembangunan semula dalam usaha bagi memperkasakan aspek kawalan khususnya di kawasan sempadan negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, IPD berkenaan akan dibangunkan semula di tapak sedia ada dan proses pembinaannya dijangka bermula pada tahun hadapan.

Beliau berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara prinsipnya telah mendapat kelulusan bagi melaksanakan proses pembangunan semula IPD tersebut menerusi peruntukan yang diterima daripada kerajaan.

“IPD Padang Besar merupakan antara IPD yang tersenarai untuk dibangunkan semula di tapak sedia ada selepas ini.

“Jadi sama ada kita kekalkan kompenan sedia ada atau kompenan tambahan seperti bangunan pentadbiran, kuarters anggota dan sebagainya, kita akan uruskan kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Lawatan Kawasan Operasi Ke Markas Taktikal (Martak) Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah (1) Kuala Perlis, di sini, hari ini.

Hadir sama dalam program berkenaan adalah Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Norzaid Muhammad dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, pihaknya juga baharu sahaja mendapat pengesahan kelulusan bagi pembangunan semula IPD itu pada minggu lalu.

“Proses bagi pelaksanaan pembangunan semula ini juga akan dibuat secepat mungkin dan tahun hadapan dijangka mungkin akan dimulakan,” katanya.

Tambah beliau, selain IPD Padang Besar, tiga Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan bersama beberapa IPD lain akan turut dibangunkan semula selepas ini.

“Saya akan umumkan pembangunan semula IPK dan IPD terlibat apabila turun ke bawah selepas ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN