PETALING JAYA: Sekiranya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dilaksanakan semula pada 2024, maka individu yang hanya lahir pada 2007 akan dipanggil untuk menjalani program tersebut.
Ini bermakna, individu yang lahir sebelum 2007 tidak akan dipanggil untuk menyertai program itu.
“Pelatih akan dipilih mengikut tahun kelahiran. Ini bermaksud, ada garis permulaan tahun kelahiran tertentu bagi pelatih untuk memulakan PLKN. Sekiranya pelatih yang dipilih tidak dapat menyertai latihan khidmat negara atas sebab yang dibenarkan, mereka boleh memohon penangguhan.
“Had maksimum untuk menjadi pelatih adalah sehingga umur 35 tahun. Kementerian Pertahanan berharap agar penjelasan ini dapat menyelesaikan kekeliruan dan kegusaran orang awam mengenai penetapan umur pelatih PLKN,” kata Kementerian Pertahanan dalam kenyataan.
Secara dasarnya, kerajaan telah bersetuju untuk memperkenalkan semula PLKN dengan kaedah yang baharu iaitu PLKN3.0 selaras dengan Akta Latihan Khidmat Negara 2003 (Akta 628). -UTUSAN