KUALA LUMPUR: Kadar jenayah membabitkan kekerasan dan harta benda di sekitar ibu negara menurun sejak 1 Januari sehingga 31 Oktober lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, statistik jenayah Indeks mencatatkan penurunan sebanyak 410 kes atau 10 peratus, berbanding 4173 kes pada tahun sebelumnya.
“Jenayah kekerasan secara keseluruhannya mencatatkan penurunan sebanyak 122 kes atau 14 peratus pada tahun ini berbanding 288 kes bagi tahun sebelumnya.
“Begitu juga dengan jenayah harta benda yang turut menurun sebanyak 288 kes (sembilan peratus) pada tahun ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Allaudeen berkata, Jabatan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) telah merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM 101 juta berbanding tahun 2022 sebanyak RM122 juta.
“Tangkapan bagi Januari hingga September 2023 dan tempoh yang sama pada tahun 2022 menunjukkan peningkatan seramai 481 orang iaitu 12,199 orang bagi tahun 2023 berbanding tahun 2022 iaitu 11,718 orang,” ujarnya.
Mengulas mengenai jenayah komersial, Allaudeen berkata pihaknya memperlihatkan peningkatan kejayaan dengan 1,439 serbuan telah dilakukan membabitkan jenayah dalam talian.
“Sebanyak 83 kertas siasatan telah dibuka membabitkan tangkapan ‘calling centre’ dengan tangkapan seramai 1,023 orang.
Selain itu, turut dilaksanakan sebanyak 2,549 operasi lain dalam mengekang jenayah-jenayah komersial,” katanya.
Tambah beliau, bagi memastikan kelancaran hampir 4.5 juta kenderaan memasuki ibu negara setiap hari, pihaknya telah menempatkan seramai 170 orang anggota polis bagi memantau kesesakan trafik.
“Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah membuka sebanyak 57,437 kes.
“Manakala pertuduhan kertas siasatan semasa telah mencapai 98.75 peratus dengan kertas siasatan yang telah dibuka,” ujarnya.-UTUSAN