Indah Water sasar kurang pelepasan karbon menjelang 2027

Indah Water sasar kurang pelepasan karbon menjelang 2027

NIK Nazmi Nik Ahmad  (kiri) ketika melawat projek PV solar di Loji Rawatan Kumbahan Pantai 1 IWK, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Indah Water Konsortium (IWK) Sdn. Bhd. menyasarkan pelepasan karbon di semua loji rawatan kumbahannya dikurangkan menjelang  2027 menerusi inisiatif tenaga solar sebagai sumber menjana tenaga baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam berkata, tenaga solar yang diperoleh melalui papan solar photovoltaics bagi inisiatif tersebut akan digunakan  untuk menjalankan beberapa peralatan di dalam kawasan loji-loji rawatan kumbahan IWK.

Katanya, sebanyak 396 tapak loji rawatan kumbahan (LRK) di seluruh Semenanjung Malaysia telah dikenal pasti sebagai tapak yang strategik untuk menjalankan pemasangan solar photovoltaics (PV) di bawah Fasa satu.

“Amalan  teknologi hijau yang diamalkan syarikat ini bukan sahaja dapat mengoptimumkan kos operasi, namun usaha tersebut selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga  Negara (NETR) dalam mengurangkan pelepasan karbon menjelang 2040.

“Setelah selesai fasa pelaksanaan ini, IWK dijangka dapat menjana 22,781 Megawatt-jam (MWj) tenaga solar setahun dengan anggaran  jumlah penjimatan tahunan elektrik sebanyak RM1.9 juta menjelang tahun 2026,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya di majlis lawatan kerja Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), Nik Nazmi Nik Ahmad yang membuat tinjauan Projek Tenaga Solar PV di Loji Rawatan Kumbahan Pantai 1 di sini, hari ini.

Narendram Maniam berkata, mengambil kira hubungan kukuh antara sektor awam dan swasta, IWK menjalinkan kerjasama dengan  pakar-pakar pemasangan solar PV, dalam usaha ke arah penyelesaian tenaga mampan.

Katanya, IWK sebelum ini menandatangani Perjanjian Pembelian Kuasa Tenaga Boleh Diperbaharui (REPPA) dengan empat  syarikat untuk melaksanakan projek itu melalui beberapa pakej yang mana jumlah perbelanjaan modal (CAPEX) yang dilaburkan ialah sebanyak RM84 juta bagi pemasangan solar itu.

Dalam pada itu,  kata beliau, sebanyak 583 tapak lagi masih dalam penilaian terperinci bagi pelaksanaan inisiatif tenaga solar untuk Fasa 2.

Menurut beliau, projek fasa dua itu bakal berotensi menjana sebanyak  21,500 MWj tenaga solar setahun, sekali gus  dapat menyumbang penjimatan tahunan tambahan sebanyak RM1.8 juta menjelang 2027.

Ujarnya, setelah kedua-dua fasa tersebut  selesai dilaksanakan, dijangka sebanyak 34.4 kilo ton Co2 (ktCo2e) pelepasan karbon dapat dikurangkan pada tahun tersebut.

 Jelasnya, inisiatif projek PV solar akan beroperasi di bawah model Kegunaan Sendiri (SelCo), di mana semua  tenaga solar yang dijana akan digunakan di LRK IWK tersebut. 

Sementara itu,  bercakap dalam sidang media selepas majlis tersebut, Nik Nazmi berkata, NRECC kagum melihat usaha IWK dalam menggunakan tenaga baharu  bagi menjalankan loji rawatan mereka.

Katanya, walaupun penjimatan dalam perbelanjaan IWK untuk menjalankan operasi mereka dapat dikurangkan dengan adanya tenaga solar hanya sedikit, namun dalam masa yang panjang beliau yakin IWK tidak memerlukan peruntukkan langsung daripada perbelanjaan negara untuk bergerak sendiri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya