Imej Mitra dipulihkan seiring tadbir urus baik

Imej Mitra dipulihkan seiring tadbir urus baik

R Ramanan memberi manisan Laddu sempena perayaan Hari Deepavali di Kompleks Setia Perkasa, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas (JPPK) Unit Tranformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) akan memastikan imej unit khas itu dikembalikan seiring dengan tadbir urus dan tatakelola yang baik.

Pengerusinya, Datuk R. Ramanan berkata, pihaknya berterima kasih kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di atas kerjasama dan panduan untuk memastika Mitra kembali kepada tujuan asal penubuhannya.

Beliau berkata, pihaknya percaya dan yakin SPRM akan segera bertindak jika wujud isu salah laku dan rasuah dalam unit khas itu.

“Ketika ini, setiap mesyuarat Mitra akan dihadiri dan dipantau pegawai SPRM. Pegawai itu akan memberi panduan dan memastikan dana Mitra ini dikendalikan dengan lebih baik tanpa sebarang isu salah laku,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli JPPK Mitra, RSN Rayer berkata, pihaknya akan memastikan dana MITRA dapat dikendalikan dengan lebih terbuka, malah tiada apa-apa yang akan disembunyikan lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, setiap penerima dana MITRA akan didedahkan supaya agihan lebih telus.

“Saya yakin dan percaya pada masa akan datang persepsi dan imej MITRA akan dipulihkan di bawah Ramanan dengan sokongan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tujuan dan matlamat MITRA akan tercapai dimana kita akan pastikan lebih banyak golongan India akan dibantu pada masa depan,” katanya.

Sebelum ini, SPRM mengesahkan siasatan berhubung penyelewengan dana Mitra sudah selesai dan mereka yang terlibat juga sudah didakwa di mahkamah.

SPRM sebelum ini menyiasat peruntukan Mitra yang diberikan kepada 337 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sejak 2019 hingga 2021 dengan peruntukan berjumlah kira-kira RM203 juta.

Siasatan SPRM berhubung pengurusan dana agensi berkenaan terbahagi kepada dua fasa, dengan fasa satu terarah kepada kira-kira 27 syarikat, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menerima antara RM1 juta hingga RM9 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya