PUTRAJAYA: Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan suara dan video yang dialih suara dalam iklan ubat kencing manis.
Menurut beliau, rakaman video itu adalah palsu menggunakan iklan ‘deepfake’ iaitu video palsu yang dibuat melibatkan kecerdasan buatan (AI).
“Kepada semua netizen, pastikan anda tidak tertipu dengan iklan Deepfake iklan yang tidak bertanggungjawab menggunakan suara saya dan video untuk promosi ubat kencing manis yang palsu.
“Akaun tersebut juga palsu. Sila maklum dan uar-uarkan kepada semua supaya kita tidak tertipu dengan AI dan deepfake,” katanya di sini hari ini.
Dalam rakaman video itu, suara Noor Hisham dialihkan untuk mempromosikan iklan itu, tetapi menggunakan video asal yang dirakamkan pihak Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) di Geneva pada 2018.
Video palsu itu dimuat naik pada 26 Oktober lalu yang masih boleh diakses sehingga kini dengan meminta pengguna media sosial memetik pautan yang disertakan bagi mengetahui lebih lanjut berhubung rawatan diabetes. – UTUSAN