KUALA TERENGGANU: “Ingatkan buaya, rupa-rupanya ikan tapah gergasi yang terperangkap dalam pukat kami. Alhamdulillah dapat rezeki ‘durian runtuh’ dalam musim tengkujuh kali ini,” kata Ahmad Zalir Awang, 57.
Dia yang berasal dari Kampung Kuala Belara dekat Manir di sini berkata, tangkapan ikan tapah seberat 75 kilogram (kg) ini merupakan kali pertama sepanjang hayatnya memukat ikan.
Menurutnya, ikan tersebut masuk ke dalam pukat yang dipasang di Sungai Nerus pada malam Ahad berikutan hujan lebat ketika itu.
“Keesokannya (Isnin lalu), saya dan seorang kawan Abdullah Mat Ali, 56, pergi ke lokasi dan terkejut bila terlihat kelibat yang besar dalam pukat, ingatkan buaya tapi tak lama lepas tu baru nampak ikan gergasi yang terperangkap.
“Memang susah nak naikkan ikan tu, jadi kami panggil dua lagi kawan iaitu Ariffin Ibrahim, 50, dan Che Wan Izan Che Wan Othman, 40, untuk menolong.
“Kami terpaksa berhempas pulas mengerah tenaga untuk bertarung selama 30 minit dengan ikan tapah gergasi itu kerana ia kuat melawan dan bersyukur kerana ia dapat dinaikkan dengan selamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Mereka berjaya memperoleh seekor ikan tapah gergasi seberat 75 kilogram serta lima lagi ikan tapah pelbagai saiz dengan berat lingkungan 11 kg hingga 29 kg.
Mereka berempat menjual kesemua ikan tersebut dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,800 dan hasilnya dibahagi sama rata.
Semalam, tular di media sosial sebuah video berdurasi 17 saat mengenai ikan tapah gergasi yang berjaya ditangkap oleh penduduk kampung tersebut dan warganet pula mengaitkannya dengan kemungkinan berlakunya banjir besar berdasarkan pengalaman generasi terdahulu.
Ariffin berkata, spesies tersebut memang sentiasa ada di Sungai Nerus dan 15 tahun dahulu, ada penduduk kampung yang pernah menangkap ikan tapah seberat 85 kg.
“Orang kampung ni memang biasa tengok ikan tapah gergasi cuma tak ada rezeki nak tangkap kerana selalu yang dapat beratnya sekitar 30 hingga 40 kg sahaja.
“Kami rasa banyak lagi ikan dalam Sungai Nerus tu sebab pernah nampak yang lagi besar mungkin dalam 100 kg, .setiap kali musim tengkujuh memang selalu nampak sebab ikan-ikan ni akan cari habitat air yang tenang di kawasan limpahan sungai untuk bertelur,” katanya. – UTUSAN