Ibu tunggal terpaksa berhenti kerja jaga anak lumpuh

Ibu tunggal terpaksa berhenti kerja jaga anak lumpuh

SALBIAH Mohamad Salleh (berdiri) memberikan susu khas kepada Ahmad Fazlan Mohd. Zubir yang mengalami masalah lumpuh di Taman Sungai Karang Darat 2, Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang ibu tunggal di Taman Sungai Karang Darat 2 di sini, terpaksa berhenti kerja untuk menjaga anak lelakinya yang mengalami lumpuh seluruh badan.

Salbiah Mohamad Salleh, 55, sebelum ini bekerja sebagai tukang sapu di sebuah sekolah di sini dengan pendapatan bulanan sekitar RM1,500.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, ibu kepada tiga anak itu berkata, anak keduanya, Ahmad Fazlan Mohd. Zubir, 31, lumpuh selepas terjatuh motosikal pada 28 Januari lalu.

Katanya, selepas terjatuh, Ahmad Fazlan tidak cedera dan boleh berjalan seperti biasa sebelum mengalami sakit pinggang tiga hari selepas kejadian.

“Selepas tiga hari, dia mengadu sakit pinggang. Saya bawa dia ke klinik dan doktor beritahu hanya masalah urat. Selepas ke klinik, dia masih mengadu sakit pinggang, jadi saya bawa dia pergi berurut di sebuah pusat terapi. Selepas berurut, dia mengadu tidak boleh membuang air kecil.

“Malam hari kejadian, saya terus menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital dan dibawa ke unit kecemasan kerana dia rasa semakin lemah dan tidak dapat menggerakkan kaki,” katanya di sini.

Menurut Salbiah, sebaik sahaja dimasukkan ke hospital, doktor membuat ujian Pengimejan Resonan Magnet (MRI) ke atas Ahmad Fazlan dan memaklumkan terdapat jangkitan kuman dalam darah di bahagian saraf tunjang dan pinggang.

“Anak saya kemudian ditidurkan selama seminggu. Selepas dua hari ditidurkan, doktor menjalankan pembedahan di bahagian tulang belakang dan pinggang kerana terdapat nanah di bahagian itu.

“Selepas itu, Ahmad Fazlan cuma hanya boleh menggerakkan kepala dan lehernya sahaja. Selama tujuh bulan dia ditempatkan dalam wad dan akhirnya dibenarkan pulang pada 18 Julai lalu yang mana ketika itulah saya mengambil keputusan berhenti kerja untuk menjaganya,” ujarnya.

Menurutnya lagi, Ahmad Fazlan kini bergantung sepenuhnya kepada mesin oksigen berikutan sering mengalami masalah sesak nafas selain hanya bergantung kepada susu khas sebagai makanan harian.

“Segala ubatan dan susu ada dibekalkan oleh pihak hospital dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), namun saya juga perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membeli susu tambahan kerana yang disediakan tidak mencukupi.

“Setiap bulan saya belanjakan sekitar RM500 hanya untuk susu khas itu selain perlu mengeluarkan wang untuk membayar kos perkhidmatam ambulan bagi menghantar dan mengambil Ahmad Fazlan berulang ke hospital bagi melakukan pemeriksaan iaitu sebanyak RM200 bagi setiap perjalanan pergi dan pulang,” katanya.

Dia bersyukur Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan bantuan bulanan sebanyak RM500 kerana menjaga pesakit terlantar selain turut menerima zakat bulanan dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) sebanyak RM400 serta RM200 setiap bulan bagi barangan keperluan dapur,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Salbiah (0010029898214298). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya