GEORGE TOWN: Remuk hati seorang ibu selepas mengetahui kanak-kanak yang terkena renjatan elektrik ketika memasuki bilik jana kuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Jalan Kampung Bukit, dekat Taman Sri Bayu, di sini, semalam adalah anaknya sendiri.
Suhana Samsudin, 37, berkata, dia mengetahui akan kejadian yang menimpa anak bongsunya, Mohd. Dawisy Zarif Mohd. Khairi,12, menerusi rakaman video yang dikongsikan ahli kumpulan komuniti WhatsApp taman perumahan terbabit kira-kira pukul 5 petang.
Katanya, tidak lama kemudian dia menerima panggilan telefon daripada rakan anaknya mengenai kejadian itu sebelum bergegas pulang dari tempat kerjanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dekat sini.
“Ketika saya sampai, Mohd. Dawisy Zarif yang mesra dengan panggilan ‘Adik’ berada di surau bersama jiran-jiran yang lain.
“Adik asyik memanggil saya ‘Mama’ berulang kali sambil merengek kepanasan, namun dia masih sedar dan boleh bercakap dengan normal.
“Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang tiba di lokasi kemudiannya membantu membawa anak saya ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd. Khairi Abdul Ghani, 38, yang sedang bertugas di Lumut, Perak bergegas pulang selepas dimaklumkan mengenai tragedi yang menimpa anak bongsunya itu.
Katanya, doktor memaklumkan tubuh anaknya melecur sebanyak 50 peratus dan terpaksa ditidurkan bagi memudahkan proses rawatan dijalankan.
“Apa yang saya tahu semasa kejadian, dia sedang bermain bersama rakan-rakannya di gelanggang futsal berhampiran bilik janakuasa terbabit manakala kembarnya berada di rumah.
“Dia memang seorang anak yang aktif dalam sukan bola sepak dan amat disenangi rakan-rakannya.
“Memang menjadi kebiasaan budak-budak taman perumahan ini bermain di gelanggang futsal terbabit, namun kali pertama kejadian sebegini berlaku,” katanya.
Semalam, media melaporkan murid Sekolah Kebangsaan Bayan Lepas 2 itu melecur ketika dikatakan memasuki fasiliti milik TNB itu untuk mengambil bola miliknya dari dalam premis berkenaan. – UTUSAN