IPOH: Hujan lebat menjejaskan Kejohanan Tenis Sanctband ITF World Tennis Tour M15 Pusingan 2 di Arena Tenis Perak di sini hari ini.
Berikutan itu, penganjur terpaksa menghentikan perlawanan dan ditunda esok pagi.
Perlawanan yang dihentikan akibat hujan melibatkan pertemuan di antara pemain negara, Koay Hao Sheng dengan Tang Sheng dari China.
Dalam perlawanan hari ini, Hao Sheng menang set pertama 6-3 tetapi tumpas 4-6 pada set kedua.
Pemain kebangsaan yang beraksi di Sukan Sea itu ketinggalan 4-5 pada set ketiga tetapi perlawanan terpaksa diberhentikan akibat hujan lebat.
Turut terjejas ialah perlawanan melibatkan pemain negara iaitu Mitsuki Leong, Daniel Leong Prickett dan Darsshan Suresh Kumar.
Mitsuki akan bertemu pilihan kedua kejohanan, Lee Jeamoon dari Korea.
Pemain dari Ipoh itu layak ke undian utama kejohanan secara merit kerana menduduki ranking 802 ATP.
Daniel pula menghadapi pemain Switzerland, Luca Castelnuovo manakala Suresh berdepan tugas getir bertemu lawan dari Korea, Lee Duckhee yang juga pilihan keenam kejohanan. – UTUSAN