DILAHIRKAN pada 2 Oktober 1983 di Amerika Syarikat (AS) dengan ibu bapanya berketurunan Iraq, Huda Kattan dibesarkan di Oklahoma.
Huda cuba menjauhi kerjaya korporat tradisional demi mengejar cita-cita dan minat mendalamnya terhadap bidang kecantikan.
Huda juga mengakui enggan mengikut jejak langkah bapanya, yang merupakan seorang profesor di American University of Sharjah.
Pengasas dan pempengaruh kecantikan ini tidak pernah merancang untuk menjadi ahli perniagaan.
Malah, hampir sedekad lalu beliau seperti kebanyakan graduan lain bekerja keras pada pekerjaan yang tidak selalu mencerminkan semangat sebenarnya.
Selepas menamatkan pengajian dalam bidang kewangan di University of Michigan-Dearborn, Huda memulakan kerjaya di Dubai dan berjinak-jinak menjadi pegawai perhubungan awam sebelum meletak jawatan dua minggu kemudian.
“Kejayaan bukan hanya tentang semangat bekerja keras tetapi kejayaan adalah tentang mencari kepuasan,” katanya kepada Harper’s Bazaar Arabia.
Kejayaan sebenar Huda bertitik tolak selepas mendaftar di sekolah latihan solekan berprestij di Los Angeles.
Selepas memperoleh sijil dalam seni solekan, dia mula mempraktikkan bakatnya di jenama Revlon. B
Beliau memulakan Huda Beauty sebagai blog, bekerja sebagai jurusolek pada siang hari dan blogger pada waktu malam.
Perlahan-lahan, Huda meraih pengikut dengan mencipta kandungan tutorial solekan dan berkongsi petua pakar.
Daripada usaha itu, beliau kemudian berjaya membina rangkaian pelanggan selebriti terkenal kelas-A termasuk beberapa keluarga diraja di seluruh Asia Barat.
50 JUTA PENGIKUT
Kini, Huda memiliki jenama kecantikan paling banyak diikuti di Instagram dengan lebih daripada 50 juta pengikut.
Beliau mengasaskan jenama kosmetiknya, Huda Beauty pada 2013 dengan melancarkan barisan bulu mata palsu.
Hari ini, perniagaannya yang bernilai berbilion dolar merangkumi lebih 140 produk kecantikan dijual di lebih 1,500 kedai di seluruh dunia.
“Saya sentiasa menjadi seorang diva, sangat sukar dan sangat khusus.
“Kadang-kala, saya tidak tahu bagaimana keluarga saya bersabar dengan saya,” katanya sambil tertawa ketika mentafsirkan tentang sikapnya yang sangat mementingkan kesempurnaan atau perfectionist dalam penampilan.
Selain menguruskan empayar kecantikan, Huda turut mengasaskan rangkaian wangian Kayali bersama kakaknya Mona pada November 2018 dan produk Wishful Skincare pada 2020.
Pada 2020 dan 2021, Huda Beauty dinobat sebagai jenama alat solek paling mendapat permintaan di dunia oleh Cosmetify dan jenama selebriti yang paling digemari pada tahun 2022 oleh Cosmetic Business.
“Kadang-kala kita tidak tahu apa yang mampu kita lakukan sehingga kita mencubanya,” katanya kepada CNBC Make It. – AGENSI