HSR: Keputusan Tun M, Muhyiddin batal saman 15 Disember ini

HSR: Keputusan Tun M, Muhyiddin batal saman 15 Disember ini

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk menggantung dan membatalkan projek Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya mengambil kira pandangan pakar, kepentingan negara, rundingan di antara dua negara itu dan implikasi kos.

Tindakan yang diambil oleh dua bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi dibuat dengan munasabah dan wajar berdasarkan fakta mengikut undang-undang dalam menjalankan tugas, tanggungjawab dan kewajipan mereka.

“Oleh itu, adalah dikemukakan bahawa mahkamah tidak mempunyai peranan perlembagaan atau kecekapan institusi untuk memutuskan proses membuat keputusan badan Eksekutif. Ia bukan fungsi mahkamah untuk memilih antara pandangan yang bertentangan dalam perkara ini,” ujar Peguam Kanan Persekutuan, Donald Joseph Franklin.

Franklin menghujahkan demikian dalam permohonan semua defendan untuk membatalkan saman seorang individu, Mohd. Hatta Sanuri yang turut mendakwa mewakili seluruh rakyat Malaysia bagi menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap warga negara ini atas dakwaan dua perdana menteri itu dan tiga lagi defendan cuai dalam menjalankan tugasnya.

Selain Dr. Mahathir dan Muhyiddin turut dinamakan sebagai defendan dalam saman yang difailkan pada Disember 2022 ialah bekas Menteri Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; bekas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga kelima.

Pada prosiding sama, Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain menimbulkan persoalan terhadap peguam, Mohaji Selamat yang mewakili Mohd. Hatta berhubung perincian salah laku yang didakwa dilakukan oleh kesemua defendan dalam penyataan tuntutan plaintif.

Mohaji kemudian menyatakan bahawa, berdasarkan kenyataan yang dibuat oleh ahli ekonomi, projek HSR akan memberi manfaat kepada negara, bagaimanapun kerajaan menanggung kerugian apabila perlu membayar kerajaan Singapura bagi pembangunan projek dan kos berkaitan di atas kelewatan.

Peguam itu berkata, kerajaan gagal menjelaskan penamatan projek itu pada 2021 yang membawa kepada kekeliruan orang ramai.

Mahkamah kemudian menetapkan 15 Disember ini untuk keputusan permohonan membatalkan saman itu.

Menurut pernyataan tuntutannya, Mohd. Hatta mendakwa, dia memfailkan saman tersebut atas kapasiti peribadi dan bagi pihak seluruh rakyat negara ini yang terjejas dan terkesan akibat tindakan salah, kecuaian dan misfeasans (salah laku ketika berada di pejabat awam) sehingga membawa pembatalan salah projek HSR dan pembayaran pampasan tidak perlu kepada Singapura.

Plaintif mendakwa, Dr. Mahathir melakukan kecuaian dan menyalah guna jawatannya ketika itu dengan menangguhkan projek HSR menyebabkan kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia perlu membayar pampasan kepada Kerajaan Singapura hampir RM46 juta.

Muhyiddin atau nama sebenarnya Mahiaddin ketika menjadi Perdana Menteri pula didakwa cuai apabila menamatkan projek berkenaan menyebabkan sehingga kerajaan dan semua rakyat Malaysia perlu membayar RM320,270,519.24 sebagai pampasan pembatalan Perjanjian Dua Hala di antara kedua-dua kerajaan.

Ka Siong pula didakwa cuai sehingga menyebabkan hak rakyat Malaysia untuk menikmati sistem pengangkutan kelas pertama di peringkat antarabangsa yang pantas, selamat dan murah telah dinafikan.

Sehubungan itu, plaintif antara lain menuntut deklarasi bahawa pembatalan projek yang diumumkan oleh Muhyiddin adalah batal dan tidak sah.

Mohd. Hatta turut menuntut deklarasi supaya kesemua defendan membayar ganti rugi dan pampasan sebanyak RM1 juta kepada setiap rakyat Malaysia termasuk plaintif kerana secara salah dan cuai membatalkan projek HSR.

Pada 19 Februari 2013, Najib dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dalam satu kenyataan bersama menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Singapura bersetuju secara rasmi untuk melaksanakan projek HSR yang dijangka siap pada 2026 dengan anggaran kos RM60 billion.

Bagaimanapun pada 1 Januari 2021, Malaysia dan Singapura mengumumkan penamatan projek HSR sejauh 350 kilometer selepas kedua-dua negara gagal mencapai persetujuan mengenai perubahan yang dicadangkan oleh Malaysia sebelum perjanjian projek itu luput pada 31 Disember 2020.

Sehubungan itu, Malaysia membayar S$102.8 juta (RM320.27 juta) kepada Singapura untuk kos yang ditanggung bagi pembangunan projek HSR dan berkaitan dengan pelanjutan penggantungannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN