IPOH: Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah di sini bermula semalam hingga Ahad menarik minat pelbagai golongan.
Tinjauan pada hari pertama penganjurannya di sini semalam mendapati HPPNK 2023 bukan sahaja menarik minat peladang, penternak dan nelayan ke lokasi penganjuran tetapi juga golongan muda.
Kehadiran golongan itu disifatkan positif dan bertepatan dengan hasrat kerajaan untuk golongan muda menceburi bidang pertanian selain memberikan semangat baru kepada golongan peladang, penternak dan nelayan.
HPPNK 2023 juga memberi kesempatan kepada golongan itu mendapatkan pengetahuan mengenai teknologi terkini dan pemasaran sekali gus menjana pendapatan yang tinggi.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang menganjurkan program itu menyasarkan kehadiran 350,000 pengunjung ke acara berprestijnya,
Sementara itu, syarikat Kobis Bunga Bakery, yang menyertai HPPNK 2023 memuji penganjuran acara itu yang diadakan di negeri ini.
Mohd. Adri Adha Mohd, 36, yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu berkata, sambutan daripada pengunjung amat memuaskan apabila ramai yang datang pada hari pertama HPPNK diadakan.
Katanya, belumpun pameran bermula pada 10 pagi, sudah ramai pengunjung yang berada di lokasi pameran dan sanggup menunggu sehingga gerai pameran dibuka.
“Pengunjung yang datang terdiri daripada pelbagai golongan, pelajar dan mahasiswa dan sudah tentunya golongan nelayan, petani dan penternak.
“Mereka datang dari seluruh negara bukan sekadar untuk menikmati makanan dan hasil pertanian tetapi untuk mengembangkan ilmu pengetahuan mereka dari segi ilmu-ilmu perladangan, penternakan dan berkaitan dengan nelayan.
“Selain itu mereka yang datang hendak mendapatkan maklumat mengenai bantuan pertanian atau perniagaan berasaskan pertanian yang sediakan kerajaan dan agensinya.
“Saya percaya pnganjuran HPPNK 2023 akan membantu merancakkan semula ekonomi negara selain menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam sektor pertanian dan industri agro makanan,” katanya.
Kali terakhir HPPNK diadakan ialah pada tahun 2019 iaitu sebelum pandemik Covid-19 melanda negara.
Bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’ HPPNK 2023 dijadual dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
HPPNK 2023 dianjurkan bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan sektor agro makanan untuk dijadikan satu agenda dalam negara demi kesejahteraan rakyat dan kestabilan pembangunan negara.
Sambutan HPPNK juga diadakan sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap sumbangan peladang, penternak dan nelayan yang menjadi penyumbang utama makanan di negara kita.
Malah, HPPNK adalah salah satu platform untuk mempamerkan kisah kejayaan para peladang, penternak dan nelayan di samping menggalakkan dan menarik minat golongan muda untuk menceburi sektor pertanian.
HPPNK 2023 melibatkan kerjasama KPKM serta jabatan dan agensi di bawahnya dengan Kerajaan Negeri Perak dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sebagai agensi pelaksana serta kerjasama dari rakan-rakan strategik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta yang berkepentingan dalam sektor agromakanan negara. – UTUSAN