HPPNK 2023 meriah, terima kunjungan luar jangka - Utusan Malaysia

HPPNK 2023 meriah, terima kunjungan luar jangka

MOHAMAD Sabu (dua kiri) menyempurnakan pelancaran Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menyifatkan penganjuran Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) pada tahun ini paling meriah sepanjang penganjurannya.

Beliau berkata, kehadiran pengunjung mencatatkan jumlah di luar jangkaan dengan lebih 200,000 orang telah hadir setakat hari kedua penganjuran program yang diadakan di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.

“Saya tidak hadir yang dulu (penganjuran HPPNK), tapi pegawai-pegawai maklumkan yang kali ini nampak lebih meriah dengan kehadiran menggalakkan.

“Alhamdulillah, sambutan cukup baik dan setakat pukul 4 petang tadi (hari ini), lebih 200,000 orang telah hadir. Walaupun hujan, kehadiran cukup memuaskan.

“Jadi matlamat kita, kehadiran pada esok akan melebihi sasaran iaitu lebih 350,000 pengunjung tambahan lagi esok cuti. Malam ini pun kita ada persembahan Jamal Abdillah dan esok pula Ramli Sarip,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023, di sini hari ini.

Menerusi program itu, Agrobank menerima dana RM1.8 juta menerusi Unit Agropreneur Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Setakat ini, sebanyak lima institusi pengajian tinggi (IPT) dan satu kolej vokasional sudah menyertai Program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) membabitkan 100 peserta menerima manfaat.

Dalam perkembangan sama, Mohamad turut berpuas hati dengan jualan produk pertanian terutama benih tanaman dan beras apabila mendapat sambutan hangat daripada pengunjung.

Malah katanya, pameran inovasi dan teknologi yang dibawa telah berjaya memberi pengetahuan baharu kepada golongan muda untuk terlibat dalam bidang pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan pada masa akan datang.

“Saya ucap terima kasih atas kunjungan semua dan kepada wartawan yang telah memberikan publisiti. Harap teruskan lagi memanggil orang ramai hadir memandangkan esok ada satu hari lagi, hari cuti penuh,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah, beliau berkata, kerajaan kini berusaha meningkatkan penyertaan golongan muda khususnya belia dalam bidang agromakanan khususnya melalui aspek peruntukan dana.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin membuka perusahaan, pihaknya akan membantu dengan mencadangkan mereka kepada Agrobank untuk diberikan pinjaman mudah.

“Di bawah Belanjawan tahun ini, Menteri Kewangan telah meletakkan sebahagian dana untuk petani muda terlibat dalam pelbagai bidang.

“Kita berharap anak-anak muda yang lain akan mencuba (menceburi sektor pertanian) kerana tanah ini bukan satu kerja yang dahulunya orang kata kena bermain selut, sebaliknya sekarang sudah ada peralatan moden dan pendapatan yang diraih juga tinggi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya