PETALING JAYA: Skuad hoki lelaki negara perlu melupakan episod duka Sukan Asia Hangzhou 2023, sebaliknya memberikan sepenuh tumpuan kepada kempen kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 di Muscat, Oman tahun depan.
Keputusan yang tidak memihak kepada skuad kendalian A. Arul Selvaraj dalam aksi menentang Pakistan dan China di Hangzhou baru-baru ini juga dilihat sebagai satu hikmah kerana Malaysian Tigers akan bertemu mereka lagi dalam aksi kelayakan.
Selain Great Britain, skuad negara akan bertemu kedua-dua pasukan itu semula pada kempen kelayakan selepas diletakkan dalam Kumpulan A, sekali gus berpeluang membalas dendam kekalahan di Sukan Asia.
Pengurus pasukan, Datuk Mirnawan Nawawi berkata, setiap kempen kelayakan sememangnya sukar, namun beliau menegaskan, aksi di Muscat, Oman dari 15 hingga 21 Januari 2024 depan dilihat memberi kelebihan kepada skuad negara.
“Setiap kempen kelayakan sememangnya mencabar sebab semua pasukan menyimpan hasrat sama untuk layak ke Olimpik. Kelebihan kepada kita ialah lawan akan ditemui nanti iaitu Pakistan dan China, kita sudah tahu kelemahan dan kekuatan mereka.
“Tewas kepada Pakistan dan seri dengan China di Sukan Asia sudah cukup untuk kita agar tidak mengulangi kesilapan sama,” kata Mirnawan yang percaya Malaysian Tigers akan bangkit pada aksi kelayakan nanti.
Menurut Mirnawan, skuad negara akan mengambil pendekatan fokus kepada setiap perlawanan terlebih dahulu dengan sasaran utama untuk berada dalam kedudukan dua teratas Kumpulan A.
“Kita akan melakukan analisis terperinci mengenai lawan di Oman nanti untuk melihat dengan lebih teliti kekuatan dan kelemahan mereka. Jangan pandang mudah keupayaan lawan dan sentiasa fokus di setiap perlawanan,” katanya.
Bagi kempen kelayakan ke Olimpik Paris itu, skuad negara perlu menduduki dua tangga teratas peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke saingan separuh akhir yang boleh dianggap sebelah kaki ke Paris 2024.
Jika menang dengan lawan dari Kumpulan B, slot ke Olimpik sudah terjamin, namun jika tumpas di separuh akhir, skuad negara tidak ada pilihan lain selain wajib memenangi aksi penentuan tempat ketiga/keempat untuk menamatkan penantian 24 tahun ke temasya berkenaan. – UTUSAN