Hasil lawatan kerja dikemuka dalam Belanjawan Melaka 2024

Hasil lawatan kerja dikemuka dalam Belanjawan Melaka 2024

AB. RAUF Yusoh berucap merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sebuah hotel di Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Hasil lawatan kerja luar negara delegasi kerajaan negeri baru-baru ini akan dikemukakan dalam pembentangan Belanjawan Melaka 2024 akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, beliau giat mempromosikan negeri ini sebagai destinasi mesra pelabur di setiap negara yang dilawati.

Katanya, usaha memperkenalkan Melaka kepada pelabur tidak boleh dipandang ringan kerana perlu bersaing dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

“Tugas mempromosikan Melaka di luar negara adalah satu tanggungjawab saya. Seperti kata pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

“Kalau tidak diperkenalkan Melaka kepada negara luar, maka Melaka akan berdepan persaingan yang hebat dengan negeri yang lengkap dengan prasarana untuk menjemput pelabur-pelabur ini.

“Jadi sudah pasti dalam saya menjadi ‘jurujual’ Melaka ini akan membawa pandangan dan juga hasil yang baik kepada bumi negeri ini. Nanti saya akan umumkan (hasil lawatan),” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri di sini, hari ini.

Ab. Rauf menyampaikan watikah pelantikan Ahli Majlis Perundingan Belia Negeri Melaka Sesi 2023-2024 kepada 30 individu membabitkan pelbagai sektor dan profesion.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ab. Rauf berkata, program-program pembangunan belia disaran diberi nafas baharu melalui penambahbaikan agar sesuai dengan keadaan dan tuntutan semasa.

Jelasnya, usaha itu penting bagi menarik minat lebih ramai golongan muda untuk bersama dengan institusi belia.

“Program pembangunan belia yang dilaksanakan juga perlu melalui pendekatan baharu yang lebih berfokus dan bersasar agar memberi impak dan hasil yang optimum. Selain itu, komuniti belia sedang berdepan pelbagai cabaran dalam persekitaran global yang semakin kompetitif dan kompleks.

“Justeru, barisan kepemimpinan pertubuhan belia hendaklah sentiasa bersedia dan mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan karakter yang bersesuaian dengan keadaan semasa. Ini kerana mereka akan mempersiapkan pula bakal pemimpin belia pada masa akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya