Harimau sama mungkin baham dua lelaki di Gua Musang

Harimau sama mungkin baham dua lelaki di Gua Musang

PERHILITAN memasang perangkap untuk menangkap harimau di Pos Pasik Gua Musang, Kelantan. - IHSAN PERHILITAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak menolak kemungkinan harimau yang menyerang lelaki warga Indonesia serta Myanmar di Gua Musang, dekat sini adalah haiwan sama.

Pengarahnya, Mohamad Hafid Rohani berkata, pada masa sama Perhilitan Kelantan tidak menolak kemungkinan terdapat beberapa ekor lagi harimau di kawasan berkenaan.

Katanya, susulan itu, Perhilitan Kelantan memasang perangkap harimau dan kamera di kawasan yang dikenal pasti haiwan liar tersebut berkeliaran.

“Perangkap pertama kita sudah pasang di Pos Pasik disusuli perangkap kedua selepas ini.

“Kita memohon kepada pekerja ladang dan persendirian supaya tidak bekerja berseorangan serta tidak membuat sebarang provokasi kepada hidupan liar,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Mohamad Hafid berkata, kawasan hutan yang semakin mengecil menjadi salah punca harimau semakin berani sehingga menyerang manusia.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan berwaspada jika terserempak dengan hidupan liar.

“Pada masa sama, elak melakukan provokasi dan sebarang maklumat berkait hidupan liar perlu disalurkan kepada pihaknya menerusi talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, seorang lelaki Myanmar menjadi mangsa kedua yang maut dibaham harimau belang kurang dari tempoh 48 jam dalam kejadian di ladang Kampung Meranto, di sini, kelmarin.

Ahka Soe Ya, 22, menjadi mangsa kedua yang maut dibaham haiwan liar itu selepas lelaki warga Indonesia dalam kejadian di kawasan kebun getah Kuala Wok, Pos Pasik.

Difahamkan semasa kejadian pukul 1.30 petang itu, mangsa yang sedang menoreh getah bersama isteri di ladang Meranto di sini telah diserang oleh pak belang.

Mohamad Hafid berkata, setakat ini tiga orang sudah menjadi mangsa serangan harimau di kawasan Gua Musang.

Katanya, kes pertama berlaku di Pos Pasik, Gua Musang melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli.

“Kes kedua pada Jumaat (10 November) di Ladang Akar Prestige, Meranto, Gua Musang melibatkan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia.

“Terbaru semalam (11 November) melibatkan warganegara Myanmar di Meranto, Gua Musang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya