Harga makanan penentu harga ayam

Harga makanan penentu harga ayam

PENIAGA-peniaga ayam segar di Pasar Ampangan, Seremban melayan permintaan pembeli ketika tinjauan di pasar berkenaan baru-baru ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga makanan ternakan yang terdiri daripada kacang soya dan jagung akan menjadi faktor utama yang menentukan harga ayam di pasaran tempatan.

Penyelidik di Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Zulkifli Idrus berkata, ini kerana 80 peratus daripada makanan ayam tersebut diimport.

Kata beliau, oleh kerana kedua-dua bahan tersebut berubah mengikut harga di pasaran global maka sekiranya ia kenaikan harga akan menyebabkan pasaran tempatan terpaksa menjual ayam dengan harga lebih tinggi.

“Ini berada di luar kawalan kita, kecuali sekiranya kita menyediakan kacang soya dan jagung sendiri tetapi ada banyak cabaran sekiranya kita nak tanam jagung dalam negara ini seperti masalah iklim tidak berapa sesuai, kos yang tinggi dan sebagainya.

“Jadi, sebelum kita lakukan tanaman tersebut, cabaran yang ada perlu kita atasi dan selesaikan dahulu. Jika tidak harga jagung tempatan mungkin akan lagi tinggi atau tidak jauh beza dengan harga di pasaran global,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, keputusan ke­rajaan menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini diramal tidak akan menyebabkan harga meningkat dengan mendadak.

Ini kerana bekalan ayam semasa adalah stabil dan keputusan mengapungkan harga ayam akan membolehkan kumpulan penternak bersaing dan berinovasi untuk memastikan harga ayam tidak terlalu mahal tetapi mereka tetap dapat keuntungan maksimum.

Dr. Zulkifli berkata, beliau mengesyorkan negara mula menggunakan bahan alternatif untuk makanan ternakan bagi mengurangkan kebergantungan import dan memastikan harga jualan pada paras yang munasabah serta mengikut kemampuan pengguna.

“Contohnya guna kelapa sawit sebab kita merupakan pengeluar kedua terbesar di dunia. Ia tetap boleh digunakan walaupun tidak boleh menggantikan jagung sepenuhnya, cukup sekadar 10 peratus dalam makanan ayam ia akan memberi impak besar,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Zulkifli merasakan ayam tidak akan mengalami isu gangguan bekalan seperti mana didakwa selepas kerajaan menamatkan menamatkan subsidi dan harga kawalan sepenuhnya.

“Bila tidak ada lagi harga siling untuk ayam ni, saya rasa tiada isu dah mengenai ketiadaan bekalan. Saya turut difahamkan kerajaan akan terus memantau mengenai harga daging mentah tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya