KOTA BHARU: Harga ikan yang dijual di beberapa pasar di sini kekal murah susulan nelayan masih lagi turun ke laut mencari hasil meskipun cuaca mulai tidak menentu ketika ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di Pasar Siti Khadijah semalam, mendapati berlaku penurunan harga sebanyak RM2 hingga RM10 sekilogram (kg) mengikut jenis ikan.
Difahamkan harga rendah itu sudah bertahan sejak tiga bulan lalu sekali gus membuatkan pengguna senyum lebar.
Seorang peniaga, Salahudin Hasanordin, 30, berkata, harga ikan selayang atau lebih dikenali sebagai ikan rakyat dijual pada RM6/kg manakala ikan kembung antara RM14 hingga RM16/kg bergantung kepada saiz.
Menurutnya, sebelum ini ikan selayang dijual RM8 hingga RM10/kg manakala kembung RM18 hingga RM20/kg.
“Ikan selar, sebelum ini RM24/kg manakala hari ini turun kepada RM15/kg. Walaupun ‘bunga bunga’ musim tengkujuh nampak sudah bermula, namun harga masih lagi murah.
“Setakat ini saya tidak berdepan dengan masalah bekalan. Semua ikan-ikan yang saya jual diperolehi dengan pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjung,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Seorang lagi peniaga, Hafiz Kamal, 31, memberitahu, walaupun berlaku penurunan harga namun permintaan terhadap ikan masih lagi rendah kecuali hari minggu.
Katanya, beberapa jenis ikan juga masih murah dijual iaitu ikan cencaru antara RM7 hingga RM8/kg berbanding sebelum ini RM10 hingga RM12/kg sebelum ini.
“Bekalan masih lagi mencukupi, memandangkan nelayan masih lagi turun ke laut menangkap ikan,” ujarnya.
Sementara itu seorang pengguna Mohd. Baihaqi Isa, 35, berkata, penurunan harga ikan ini amat melegakan terutama golongan berpendapatan rendah.
Katanya, dia berharap harga itu dapat terus kekal pada masa hadapan.-UTUSAN