KANGAR: Pengilang memberi jaminan meningkatkan harga belian padi kepada RM1,500 per tan metrik dengan pesawah mampu menambah pendapatan sehingga RM2,000 termasuk subsidi sekiranya harga siling beras putih tempatan (BPT) dinaikkan kepada RM3.20 sekilogram.
Kenaikan harga beras itu dilihat perlu selepas lebih 15 tahun harga silang BPT sebanyak RM2.60 tidak pernah disemak oleh kerajaan sekali gus memberi kesan bukan sahaja kepada pengilang tetapi para pesawah.
Pihak pengilang juga terpaksa menanggung kerugian besar disebabkan harga siling BPT yang rendah itu, manakala pesawah turut berdepan situasi sama disebalik kenaikan kos input pertanian dan operasi tanaman.
Sebagai rekod, kos untuk menghasilkan sekilo beras adalah 46 sen atau RM460 bagi satu tan metrik meliputi beberapa kos lain seperti operasi, utiliti dan pelbagai lagi.
Pengerusi Pengilang-Pengilang Beras Malaysia, Marzukhi Othman berkata, kenaikan harga siling BPT itu dapat membantu pesawah menambah hasil dengan pembelian padi yang lebih tinggi.
“Pengilang-pengilang beras Malaysia menyambut baik hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyemak semula harga siling BPT yang kali terakhir disemak pada 2008,” katanya.
Sebelum ini, Mohamad berkata, kerajaan akan meneliti syor agar harga siling BPT dinaikkan bagi menjaga masa depan semua pihak dalam rantaian pengeluaran bahan makanan itu, terutama pesawah.
Mengulas lanjut, Marzukhi berkata, pihaknya juga turut mencadangkan agar Kawal Selia Padi dan Beras (KPB) dapat mewujudkan satu gred tunggal sahaja bagi beras putih dan tidak perlu lagi dilabel BPT dan beras putih import dalam pasaran.
Ujarnya, langkah ini penting bagi menggelakkan manipulasi di peringkat pemborong malah pengguna juga tidak akan tertipu dengan produk beras yang dibeli oleh mereka.
“Selagi mana terdapat dua gred beras putih pada harga berbeza, ia tidak akan menyelesaikan isu penyelewengan sekiranya berlaku lonjakan harga beras import pada masa hadapan,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya gred tunggal beras putih tersebut, industri padi mampu menjadi stabil dan harmoni malah pemain industri dapat menguruskan tanggungjawab masing-masing dengan lebih terkawal.
“Daripada aspek penetapan harga bagi gred tunggal ini pula, ia terpulang kepada kerajaan untuk membuat ketetapan berkenaan,” katanya.-UTUSAN