Harga ayam terkawal, KPDN pantau peniaga ambil kesempatan

Harga ayam terkawal, KPDN pantau peniaga ambil kesempatan

AFFENDI Rajini Kanth (kanan) bersama seorang peniaga yang menjual ayam pada harga RM7.70 sekilogram setelah harga sumber protein itu diapungkan bermula hari ini di Pasar Besar Alor Setar. - UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah memberi amaran kepada peniaga agar tidak sewenangnya menaikkan harga ayam ekoran keputusan kerajaan menarik balik subsidi dan kawalan harga sumber protein itu bermula hari ini.

Pengarahnya, Affendi Rajini Kanth berkata, pihaknya tidak berkompromi jika terdapat pihak yang mengambil kesempatan menjual bekalan ayam pada harga tidak munasabah semata-mata untuk meraih untung berlebihan.

“Kita akan ambil tindakan tegas tanpa memberikan apa-apa alasan dan kita menerima maklumat bahawa kononnya berlaku kenaikan harga ayam hari ini ekoran penamatan subsidi namun terbukti harga masih biasa. Harga ayam terkawal dan masih rendah hari ini,” katanya kepada pemberita setelah melakukan tinjauan di Pasar Besar Alor Setar di sini hari ini.

Akhbar ini kelmarin melaporkan, kerajaan mengumum menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula hari ini.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, rasionalisasi daripada tindakan itu adalah untuk mengurangkan ketirisan subsidi yang turut dinikmati oleh warga asing dan penduduk berpendapatan tinggi.

Affendi menambah, KPDN Kedah melaksana operasi dan pemantauan harian di semua premis menjual ayam itu setiap hari bagi memastikan harga bahan itu terkawal.

“Menerusi Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 antara tindakan dikenakan adalah kompaun tidak kurang daripada RM3,000 bagi individu dan RM5,000 bagi pertubuhan. Individu juga boleh dipenjara tidak melebihi tiga tahun untuk kes pertama dan tidak lebih lima tahun untuk kes kedua,” katanya.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, hasil pemantauan hari pertama penamatan subsidi dan kawalan harga itu mendapati tidak berlaku kenaikan harga mendadak dalam kalangan peniaga.

“Harga ayam masih terkenal dan rendah hari ini kerana peniaga menjual di bawah harga RM9.40. Kita harap trend ini berterusan dan jadi amalan kepada semua.

“Saya sudah menanyakan kepada peniaga, mereka berkata walaupun naik pun dalam lingkungan RM9 sahaja,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya