Hanya terima RM50 daripada ibu sepanjang di USM - Utusan Malaysia

Hanya terima RM50 daripada ibu sepanjang di USM

MUHAMAD HAFIZI Mohd. Hanafi menunjukkan anugerah Pingat Emas Canselor yang dianugerahkan kepadanya sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61 tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: “Sepanjang saya belajar di USM (Universiti Sains Malaysia) ini, saya hanya terima RM50 sahaja daripada emak. Saya memang tidak mahu susahkan emak dengan masalah kewangan.

“Lagipun, sepanjang di sini (USM), boleh kata tak ada masalah duit langsung kerana macam-macam bantuan diberi dan saya juga ada buat tuisyen secara sambilan. Ada lebih kadang-kadang saya hulur juga dekat emak.”

Itu kata penerima Hadiah Pingat Emas Canselor sempena Upacara Konvokesyen USM kali ke-61, Muhamad Hafizi Mohd. Hanafi, 24.

Muhamad Hafizi yang juga merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Sastera akan menerima penghargaan itu dalam majlis konvokesyen di USM, Isnin depan.

Dia merupakan sebahagian daripada 8,166 graduan pelbagai bidang yang diraikan sepanjang upacara konvokesyen tersebut berlangsung iaitu selama seminggu bermula Selasa lalu.

Menurut anak kelahiran Machang, Kelantan itu, meskipun tidak berdepan dengan masalah kewangan serius sepanjang berada di universiti, namun dia sering diduga dengan pelbagai ujian lain termasuk kematian ayahnya ketika sedang mengikuti semester pertama pengajiannya di USM.

“Sehinggalah semasa nak ambil kertas (peperiksaan) final tempoh hari, tiba-tiba saya menangis sebab macam tak percaya sudah sampai ke tahap ini selain terkenangkan arwah ayah pada ketika itu,” kata pendebat USM itu.

MUHAMAD Hafizi Mohd. Hanafi (tiga dari kiri) bersama Naib Canselor USM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abd. Rahman Mohamed (tiga dari kanan) serta graduan cemerlang lain pada majlis memperkenalkan graduan tersebut baru-baru ini.

Jelas Muhamad Hafizi, kesedihan itu bagaimanapun menguatkan semangatnya untuk terus bekerja keras dan belajar bersungguh-sungguh demi mengejar cita-citanya sebagai seorang pendidik.

“Saya pernah tolak tawaran A-Level dalam bidang ekonomi sebab itu bukan jiwa saya walaupun baru sebulan ambil kursus tersebut.

“Memang ada yang mengata ketika itu kerana saya seperti ‘menolak tuah’ apatah lagi ketika itu saya mendapat biasiswa dan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, namun, saya tetap dengan pendirian saya kerana ‘jiwa’ saya tak ada di situ.

“Impian saya hanya satu iaitu mahu jadi pendidik kepada anak bangsa selain sudah bersedia untuk mengharungi cabaran dalam pendidikan,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya