ALOR SETAR: Proses penanaman padi bagi musim kedua tahun ini di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tidak dapat mematuhi jadual ditetapkan apabila hanya merangkumi keluasan 10.1 peratus berbanding melebihi 50 peratus jika mengikut jadual.
Pengerusi MADA, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, faktor kelewatan tersebut disebabkan para pesawah kini berdepan isu bekalan benih padi sah (BPS) yang sukar diperolehi selain harganya melebihi RM50 bagi kampit 20 kilogram (kg).
Katanya, jika mengikut jadual penanaman pada musim ini, sebanyak 33,580 hektar atau 30 peratus kawasan sawah MADA sepatutnya sudah mula ditabur BPS sejak 27 September hingga 11 November ini.
“Bagi fasa kedua menabur benih yang bermula pada 7 Oktober hingga 21 November, sepatutnya meliputi 32,900 hektar dan fasa ketiga pada 17 Oktober hingga 1 Disember pula merangkumi 34,161 hektar.
“Kalau fasa-fasa ini dipenuhi ia telah melebihi 50 peratus tapi yang berlaku ketika ini hanya 10.6 peratus daripada keluasan sawah tersebut ditabur benih. Keadaan sama berlaku di luar Jelapang Padi kerana proses menaburnya juga sekitar 10 peratus sahaja.
“Antara sebab kelewatan ini adalah pihak pesawah gagal mendapatkan benih pada masa yang sepatutnya. Bukan sahaja BPS tidak dibekalkan kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tetapi dijual pada harga lebih tinggi berbanding harga runcit RM45,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) mendakwa PPK di Kedah, Pulau Pinang dan Perak terus berdepan kesukaran mendapatkan bekalan BPS untuk dijual kepada petani pada harga RM45 per kampit seperti diselaraskan kerajaan.
Exco PeSAWAH, Abdul Rashid Yob berkata, program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) berkuatkuasa 20 Oktober lalu masih belum mampu menyelesaikan misteri ‘kehilangan’ BPS di pasaran sehingga para petani beranggapan pengilang hanya membekalkan benih itu kepada rangkaian tertentu bagi meraih keuntungan lebih.
Sementara itu, Dr. Ismail berkata, isu tersebut mesti ditangani segera pada musim ini agar dapat memastikan agenda keterjaminan makanan negara tidak terjejas pada musim-musim akan datang yang memberi kesan kepada pengguna.
“Hanya PPK yang mengikut arahan kementerian untuk menjual pada harga runcit sepatutnya sedangkan ejen-ejen pembekal benih padi lain yang tidak mengikut arahan kerajaan tidak diambil tindakan pun.
“Pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) boleh sahaja mengambil tindakan tegas kerana ejen-ejen swasta ini tidak memberi kerjasama dan tidak patuh arahan kerajaan sehingga menampakkan sikap degil mereka,” katanya.
Tambah beliau, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) juga dicadangkan agar meluaskan Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang kini dilanjutkan untuk turut memeriksa bekalan benih di peringkat pengeluar. –UTUSAN