Hampir 500 jemaah haji B40, M40 tolak bantuan kewangan

Hampir 500 jemaah haji B40, M40 tolak bantuan kewangan

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hampir 500 jemaah haji musim 2022 dan 2023 dalam kalangan B40 dan M40 menolak Bantuan Kewangan Haji selari dengan syarat istito’ah bagi rukun Islam kelima itu.

Mereka terdiri daripada 67 orang yang menolak bantuan itu secara keseluruhan dan membayar penuh kos haji sebanyak RM30,850 manakala 396 jemaah haji membayar RM1,000 hingga RM12,000 lebih daripada kadar bayaran haji yang ditetapkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar menzahirkan ucapan syabas dan tahniah kepada jemaah haji kerana memilih untuk membayar penuh atau lebih daripada yang ditetapkan selaras dengan konsep istito’ah yang dituntut syariat.

“Kesedaran dan kefahaman konsep kemampuan tunai haji yang ingin kita terapkan kepada semua umat Islam negara agar Bantuan Kewangan Haji yang diberikan oleh Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) boleh disampaikan kepada mereka yang layak dalam kadar jumlah yang munasabah dan ihsan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada Tabung Haji yang banyak mengadakan pelbagai program pendidikan serta pendedahan berkaitan istito’ah di media-media massa untuk makluman umum.

“Usaha ini perlu diteruskan agar lebih ramai bakal jemaah haji diberi kesedaran akan konsep Istito’ah, Insya-Allah,” katanya selepas meraikan jemaah haji kedua-dua musim tersebut yang menolak bantuan kewangan itu di Menara TH, Jalan Tun Razak di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohd. Naim berkata, istito’ah perlu difahami oleh setiap umat Islam agar mereka yang belum tergolong dalam kategori itu belum wajib menunaikan haji sehingga mengundang masalah terutama kemampuan kewangan.

“Pelaksanaan ibadah haji tidak dapat dicapai jika tidak mempunyai persediaan dan penghayatan dari segi kemampuan atau istito’ah,” katanya.

Kos haji bagi seorang jemaah Muassasah pada musim 1444H adalah RM30,850 dan Tabung Haji telah memberi Bantuan Kewangan Haji secara bersasar kepada golongan B40 dan M40 yang berjumlah RM265 juta.

Sejak 2001 sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan untuk menanggung Bantuan Kewangan Haji. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya