KUALA NERUS: Seorang graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima khabar duka mengenai pemergian bapanya kira-kira 15 minit sebelum naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah pada majlis konvokesyen, hari ini.
Haslina Kalang, 23, sebak apabila menerima panggilan dari jirannya di Tawau, Sabah yang memaklumkan bapanya, Kalang Tona, 56, meninggal dunia pada pukul 10.30 pagi.
Graduan Ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa itu berkata, dia sememangnya berat hati untuk hadir ke majlis konvokesyen hari ini kerana risau dengan bapanya yang mempunyai sakit strok.
“Kesihatan ayah memang agak merosot sejak akhir-akhir ini, namun dia tetap meminta saya untuk datang ke Terengganu bagi menghadiri majlis konvokesyen ini.
“Ayah pesan agar saya raikan hari istimewa setelah bersusah payah menimba ilmu dan minta saya datang ke Terengganu tanpa perlu bimbangkan kesihatannya.
“Tak sangka pula ayah pergi dulu menemui Illahi sebelum sempat saya bertemu buat kali terakhir dengannya, lemah longlai kaki saya melangkah naik ke pentas apabila bayangan wajah ayah terus terbayang di mata sepanjang saya naik untuk menerima skrol,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
.
Haslina yang merupakan anak kedua dari lima beradik berkata, selepas tamat belajar di UniSZA, dia memberi tumpuan untuk menjaga ayahnya sepenuh masa dan belum bekerja dimana-mana tempat.
“Alhamdulillah, sebagai anak, saya dapat berbakti kepada ayah dan saya reda dengan pemergian ayah di hari konvokesyen saya hari ini,” katanya.
Haslina tiba di Terengganu dua hari lepas dan ditemani kakak sulungnya yang datang dari Johor untuk hadir ke majlis konvokesyen hari ini.
Sementara itu, pihak UniSZA telah menyampaikan sumbangan wang tunai RM2,500 kepada Haslina untuk membeli tiket penerbangan pulang ke Tawau, Sabah, hari ini.
Mengikut perancangan asal, Haslina sepatutnya pulang esok ke kampung halaman sebaik sahaja selesai majlis konvokesyen hari ini. -UTUSAN