SHAH ALAM: Graduan institusi pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan tidak menamatkan pengajian di peringkat diploma atau ijazah sarjana muda semata-mata, sebaliknya melanjutkannya ke tahap yang lebih tinggi.
Pro Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tengku Permaisuri Norashikin bertitah, ilmu merupakan asas kepada pembentukan tamadun tinggi seperti nama disebut dalam hadis Nabi Muhammad SAW ‘barang siapa yang menapaki suatu jalan dalam rangka menuntut ilmu, maka Allah akan memudahkan baginya jalan menuju syurga’.
“Sehubungan dengan itu, budaya menimba ilmu perlu dirancakkan kerana Malaysia memerlukan problem solver dalam membantu negara menghadapi cabaran yang semakin kompleks,” titahnya pada pembukaan Istiadat Konvokesyen Ke-98 UiTM, hari ini.
Baginda berkenan mencemar duli hadir ke istiadat tersebut mewakili Canselor, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah.
Bagaimanapun, baginda mengingatkan, kejayaan menggenggam segulung ijazah bukan semata-mata untuk dibanggakan, sebaliknya perlu bersyukur dan kembali kepada Allah SWT sebagai hamba.
“Nasihat saya, ikutilah seperti ‘resmi padi, semakin tunduk semakin berisi’. Kejayaan yang diperoleh wajar dikongsikan kembali kepada universiti dan warganya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Permaisuri Selangor turut menggesa semua IPT digesa menyediakan program yang dapat membentuk pembangunan bakat dan sahsiah graduan bertepatan dengan dunia sebenar.
“Kita perlu memberi ‘kepercayaan’ kepada pelajar untuk memanfaatkan kemahiran dan pengetahuan mereka kepada komuniti.
“Saya berasa amat gembira apabila Kementerian Pendidikan Tinggi telah memperkenalkan Service-Learning Malaysia – University For Society atau SULAM dengan menyediakan ruang kepada pelajar untuk memperkembangkan idea mereka kepada komuniti melalui kaedah Pembelajaran Menerusi Pengalaman.
“Kaedah ini pastinya akan membentuk keprofesionalan peribadi dan kesedaran kendiri dalam kalangan graduan. Malah ia juga menghasilkan graduan yang serba boleh, kalis masa depan dan mampu memanfaatkan revolusi platform digital,” jelasnya.
Seramai 24,714 graduan UiTM menerima ijazah masing-masing di peringkat diploma hingga ijazah doktor falsafah dalam 23 sidang pada istiadat yang berlangsung bermula 18 November hingga 14 Disember. – UTUSAN