Graduan KUIPs perlu aktif bersama alumni - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Graduan KUIPs perlu aktif bersama alumni – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (tiga dari kiri) berkenan beramah mesra dengan para graduan sewaktu Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, Arau, Perlis. -UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Graduan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) disaran sentiasa aktif bersama alumni bagi menyumbang semula kepada institusi pengajian itu sama ada menerusi inisiatif wakaf yang diperkenalkan mahu pun pemikiran.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, saranan berkenaan adalah bagi membolehkan KUIPs sentiasa terpelihara, maju dan dapat melahirkan graduan yang berkualiti bagi membina negara pada masa hadapan.

Titah baginda, kejayaan graduan KUIPs merupakan permulaan kepada pelengkap pembangunan ketamadunan dan mempunyai nilai hidup berteraskan prinsip berkualiti tinggi, adil serta saksama.

“Kejayaan graduan pada hari ini merupakan perkongsian kegembiraan ibu bapa, penjaga dan keluarga.

“Tahniah diucapkan kerana telah memberikan bimbingan dan nasihat berterusan dengan penuh kasih sayang kepada para graduan untuk belajar bersungguh-sungguh bagi membina peribadi, jati diri serta pegangan moral sehingga berjaya,” titah baginda sewaktu berkenan berangkat menyempurnakan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-6 KUIPs di Dewan Harumanis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra, di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Rektor KUIPs, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle bersama kepimpinan tertinggi institusi pengajian itu.

Dalam majlis sama, Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan pengurnian Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Hadis kepada Dr. Muhammad Asri Yussof.

Di samping itu, baginda turut mengurniakan Ijazah Sarjana Muda dan Diploma kepada 173 graduan dari Fakulti Pengajian Islam, 66 graduan dari Fakulti Muamalat dan Kewangan Islam serta 37 graduan dari Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut menzahirkan ucapan tahniah atas kejayaan graduan, ibu bapa, penjaga dan keluarga masing masing yang turut sama dalam majlis tersebut.

“Semoga detik ini akan menjadi titik tolak untuk setiap graduan agar mencapai lebih banyak kejayaan, membina peribadi, jati diri dan menjadi insan berguna kepada masyarakat serta negara” titah baginda.

Sementara itu, Muhamad Rozaimi berkata, sepanjang tahun ini, KUIPs telah berjaya meningkatkan jumlah pengambilan pelajar baharu dengan pencapaian sebanyak 122 peratus berbanding unjuran pada tahun semasa buat semua peringkat pengajian.

Katanya, kecemerlangan KUIPs dalam bidang akademik turut dibuktikan dengan kejayaan pengiktirafan Penarafan Bersepadu Institut Pendidikan Tinggi Malaysia 2022 (SETARA 22) oleh Jabatan Pengajian Tinggi dengan pencapaian ‘Berdaya Saing’ yang Setaraf dengan 103 universiti lain di Malaysia.

“KUIPs turut menawarkan program pengajian yang memenuhi keperluan semasa dalam semua peringkat pengajian dengan jumlah keseluruhan sebanyak 26 program aktif yang diiktiraf oleh pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pencapaian signifikan ini membuktikan komitmen KUIPs dalam menyediakan pendidikan berkualiti dan berimpak tinggi kepada pelajar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya