Gerai ‘bunian’ jual makanan mulai tengah malam

Gerai ‘bunian’ jual makanan mulai tengah malam

PELANGGAN membeli makanan di gerai yang dibuka mulai tengah malam di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Perak. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Sebuah gerai menjual pelbagai jenis makanan di Kampung Bahagia di sini yang dikenali sebagai gerai nasi ‘bunian’ kerana beroperasi mulai pukul 12 tengah malam, mendapat sambutan orang ramai yang mencari makanan semasa tengah malam hingga awal pagi.

Terletak di tepi jalan besar kampung berkenaan, gerai itu menjual pelbagai jenis makanan seperti nasi lemak dan kuih-muih selain memulakan perniagaan pada pukul 12 malam dan lazimnya ditutup pukul 3 pagi.

Pemilik gerai berkenaan, Nur Ain Munirah Zamanhuri Azhar, 28, berkata, dia memulakan perniagaan itu sejak 10 tahun lalu dan beroperasi mulai tengah malam kerana pada waktu itu ramai yang mencari makanan terutama kepada mereka bekerja pada waktu malam seperti pemandu lori dan anggota polis.

“Berniaga mulai tengah malam, saya dapat memenuhi keperluan mereka yang sukar mendapatkan makanan selepas habis bekerja.

“Saya menjual makanan untuk sarapan seperti nasi lemak dan kuih-muih. Berniaga pada tengah malam saya rasa seronok, saya tak ganggu perniagaan orang lain.

“Saya buka kedai hingga pukul 3 pagi, orang panggil kedai kami kedai bunian kerana berniaga pada awal pagi. Semasa orang sedang tidur, kami berniaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nur Ain Munirah bersyukur kerana perniagaannya mendapat sambutan daripada orang ramai yang mencari makanan semasa tengah malam hingga awal pagi.

Katanya, dia juga memberi peluang kepada pembuat kuih meletakkan makanan mereka di kedainya untuk dijual, sekali gus dapat menambah pendapatan.

Dalam pada itu, seorang pelanggan, Mohd. Hakim Mustapa, 34, berkata, kedai makanan tengah malam memberi kemudahan kepadanya untuk membeli makanan memandangkan dia bekerja di sini dan berulang-alik dari Pulau Tiga, Kampung Gajah.

“Apabila kerja syif malam, selesai kerja saya terus beli makanan di gerai ini.

“Kadangkala tidak sempat masak untuk bekal dan balik dari kerja pukul 2 pagi, terasa lapar dan saya terus ke gerai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya