KEMAMAN : Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, membuka tirainya dengan proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, pagi ini.
Calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, tiba pada pukul 8.30 pagi dan berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan diiringi ribuan penyokongnya yang membawa sepanduk dan bendera parti.
Turut kelihatan, beberapa pemimpin PN, antaranya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan dan Timbalan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa.
Sementara itu, calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang tiba kira-kira pukul 8.50 pagi diiringi penyokongnya dan turut berarak kira-kira 500 meter ke pusat penamaan calon.
Raja Mohamed Affandi turut diiringi beberapa pemimpin termasuk Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu.
Pegawai Pengurus Bahagian PRK Kemaman, Ahmad Farhan Abdul Wahab kemudiannya mengumumkan, penyerahan kertas penamaan calon dibuka bermula pukul 9 hingga 10 pagi.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Abd. Hamid pada 26 September lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Che Alias Hamid daripada Pas menang dengan majoriti 27,179 undi dengan meraih 65,714 undi dalam pertarungan empat penjuru.
Che Alias berjaya menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Said yang meraih 38,535 undi dan dua calon lain iaitu calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin yang mendapat 8,340 undi manakala calon Pejuang, Rosli Ab Ghani hanya memperoleh 506 undian. – UTUSAN