SIK: Ancaman gajah liar yang merosakkan tanaman serta menyerang haiwan peliharaan penduduk menggusarkan mereka yang tinggal di beberapa buah kampung di sini.
Penduduk Kampung Pinang, Yaacob Md. Senawi, 51, berkata, seekor lembu betina peliharaannya yang bunting cedera dipercayai akibat diserang oleh seekor gajah jantan, baru-baru ini.
“Ketika kejadian, sebanyak lima ekor lembu diikat di kebun getah saya yang jaraknya lebih kurang satu kilometer dari rumah. Sebelum ini lembu-lembu itu selamat, tiada gangguan gajah ataupun harimau, tetapi sejak kebelakangan ini gajah pula yang mengancamnya,” katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku berhampiran kawasan rumahnya walaupun ketika musim buah-buahan sebelum ini, kebun bersebelahan kebun getahnya diceroboh tiga ekor gajah yang memusnahkan lebih 10 pokok buah langsat yang sedang berbuah lebat.
“Setakat ini, sudah tiga kali gajah-gajah itu masuk ke kebun bermula Ogos hingga kini, kali kedua gajah terbabit telah mengamuk dan merosakkan pokok-pokok buah-buahan di kebun dan beberapa hari selepas itu lembu pula menjadi sasarannya.
“Saya bimbang jika pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak melakukan sesuatu, haiwan itu akan terus merosakkan dan mungkin mengancam nyawa dan harta benda kami pula,” katanya.
Penduduk Kampung Kota Aur, Mohd. Ghazali Abu, 42, pula berkata, sejak seminggu lalu, dia terpaksa bermalam di kebun buah-buahan miliknya kerana bimbang gajah-gajah liar merosakkan tanamannya.
“Sebelum ini beberapa ekor gajah telah mengamuk dan merosakkan barangan termasuk mesin rumput yang ditinggalkan di pondok dalam kebun. Sudah dua kali gajah-gajah ini masuk ke kebun saya yang ditanam pokok dokong, langsat, salak, cempedak dan sebagainya.
“Gajah-gajah terbabit kebiasaannya akan muncul pada lewat malam sehingga ke pagi dan saya bimbang kawanan gajah itu akan mengamuk lagi dan merosakkan pula tanaman yang ada dalam kebun,” katanya.
Menurutnya, Perhilitan pernah memantau serta menghalau haiwan itu masuk semula ke dalam hutan, tetapi mereka masih bimbang sekiranya ia muncul semula dan bertindak lebih ganas sehingga mengancam nyawa penduduk.
“Oleh itu, saya berharap agar mereka melakukan sesuatu untuk menangkap gajah-gajah liar ini dan pindahkan ke kawasan hutan lain yang lebih sesuai dengan habitatnya,” katanya.-UTUSAN