TUMPAT: Ibu kepada gadis yang ditemukan maut di dalam kereta selepas dipercayai terhidu gas monoksida di sebuah stesen minyak di Kota Bharu dekat sini mendedahkan anaknya itu sempat memeluk dan menciumnya.
Rohana Ismail, 41, berkata, anak sulungnya daripada enam beradik itu keluar rumah pada pukul 6.45 pagi semalam untuk ke pusat pengajian dan pulang ke rumah sewanya di Kok Lanas.
“Arwah (Fatin Eiram Bariah Muhamad Sobri, 20) peluk, cium saya seperti biasa dan meminta wang belanja sebelum keluar rumah menaiki kereta Perodua Myvi.
“Tiada kelakuan pelik ditunjukkan arwah yang pulang bercuti di rumah sejak hari Khamis lalu,” katanya ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Kajang Sebidang di sini hari.
Rohana memberitahu, kali terakhir dia berhubung dengan arwah anaknya melalui kumpulan whatsApp keluarga pada pukul 6.17 petang semalam dan sempat berbincang persiapan untuk baju raya.
Katanya, bagaimanapun dia dikejutkan dengan panggilan pada pukul 10.45 malam dari rakan yang memaklumkan kejadian tersebut.
“Arwah berada di Kota Bharu bersama rakan lelakinya yang merupakan kenalan sejak sekolah lagi.
“Arwah dipercayai dalam perjalanan menghantar rakannya itu yang bekerja sambilan untuk membungkus barang jualan dalam talian,” ujarnya.
Rohana berkata, jenazah dikebumikan di tanah Perkuburan Islam Kajang Sebidang hari ini.
Dalam kejadian Fatin Eiram Bariah Muhamad Sobri, 20, ditemukan maut di tempat penumpang dalam kereta jenis Perodua Myvi kira-kira pukul 9 malam di sebuah stesen minyak di Kota Bharu.
Manakala rakan kolejnya, Wan Muhamad Haris Aiman Muhamad, 20, tidak sedarkan diri dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.-UTUSAN