KUALA LUMPUR: Pelakon, Firdaus Ghufran, 21, mendedahkan pernah hampir dicabul seorang lelaki tidak dikenali sewaktu menjalani penggambaran untuk sebuah produksi tempatan.
Kongsi Firdaus, perkara itu yang belum pernah dikongsikan kepada umum sebelum ini telah mengajarnya untuk lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai orang asing.
“Pernah satu masa saya didatangi seorang penjaga wardrobe yang tidak dikenali yang bertindak mengunci bilik persalinan untuk memcabul saya.
“Tindakannya itu telah dilaporkan dan mengakibatkan dia dibuang kerja,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas isu sama, pelakon drama Budak Tebing itu pada masa yang sama tidak menafikan wujudnya pengarah dan penerbit yang cuba mengambil kesempatan terhadap pelakon lelaki dengan menjanjikan mereka tawaran lakonan.
Malah, katanya perkara itu seakan menjadi kebiasaan yang sehingga ke hari ini masih kurang diperkatakan.
“Memang perkara ini banyak berlaku. Saya sebolehnya akan elakkan daripada menjadi mangsa.
“Saya menolak mana-mana tawaran lakonan yang ada agenda terterntu. Berterus terang itu lebih baik, jadi sekiranya berdepan situasi ini, saya akan tolak cara baik.
“Saya tak mahu benda-benda begini berlaku kepada saya. Saya berharap pengarah atau penerbit berkaitan perbetulkan niat, ambil pelakon kerana bakat, bukan untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.