LONDON: Manchester United dilaporkan bakal kembali mendapatkan sentuhan berbisa Alex Ferguson, dengan memainkan sebagai penasihat kepada Jim Ratcliffe.
Jim Ratcliffe difahamkan akan meminta nasihat pengendali legenda United dalam persiapannya mengambil alih operasi dan pembangunan semula di Old Trafford.
Jutawan INEOS itu bakal menyempurnakan perjanjian bernilai 1.3 bilion pound (RM7.56 bilion) bagi memiliki 25 peratus saham United daripada keluarga Glazer.
“Masih tiada kenyataan rasmi, tetapi jika segalanya berjalan lancar, jutawan INEOS itu berkemungkinan akan mendapatkan nasihat Ferguson untuk menyusun strategi di United.
“Semuanya bergantung kepada proses perjanjian yang akan dimuktamadkan nanti. Fokus utama ialah untuk menaikkan kembali kelab ini,” kata sumber terdekat The Red Devils.
Langkah itu akan memberi peluang buat Dougie Freedman menjadi pengarah sukan baharu United yang ketika ini memegang jawatan sama di Crystal Palace.
Freedman yang juga merupakan warga Scotland, adalah jiran Ferguson ketika di Cheshire sebelum dia menerima jawatan di Palace pada tahun 2017.
Freedman, 49, yang bijak menilai bakat mampu memberi kelebihan buat United dengan Eberechi Eze, Marc Guehi dan Michael Olise antara pemain yang berjaya mencipta nama di Selhurst Park.
Seorang lagi calon pengarah sukan termasuk Lee Congerton dari Atalanta, Andrea Berta (Atletico Madrid) dan bekas gandingan di AC Milan, Paolo Maldini dan Ricky Massara.
Selain itu, Jean Claude Blanc, adalah calon utama yang disebut-sebut untuk menggantikan Richard Arnold sebagai ketua pegawai eksekutif United yang baharu. – AGENSI/UTUSAN