PETALING JAYA: Datuk Farhash Wafa Salvador akan membuat laporan polis dan mengemukakan saman terhadap Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal kerana menuduhnya menjadi dalang utama memujuk empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) beralih arah menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bekas Pengerusi PKR Perak itu berkata, beliau sekeras-kerasnya mengecam dan menafikan tuduhan serta fitnah yang tidak benar dan tidak berasas yang dilontarkan dengan membabitkan namanya.
Beliau malah menyifatkan tuduhan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat jahat dan tanpa sebarang bukti langsung kerana tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dakwaan tidak berasas oleh Wan Ahmad Fayhsal tersebut.
“Menerusi kenyataan sidang media oleh Wan Fayhsal, ia jelas bahawa saya telah dijadikan sebagai alatan politik untuk menyebarkan khabar angin yang tidak benar untuk kepentingannya sendiri.
“Disebabkan oleh kenyataan dan tuduhan fitnah yang dilontarkan terhadap saya, saya akan membuat suatu laporan polis agar siasatan dan tindakan lanjut diambil oleh pihak polis terhadap Wan Fayhsal. Saya juga merizabkan hak saya untuk memfailkan tuntutan saman fitnah terhadap Wan Fayhsal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Wan Ahmad Fayhsal dalam sidang akhbar di Parlimen hari ini mendakwa seorang bekas Setiausaha Politik dan seorang lelaki dikenali ‘Datuk Botak’ didakwa menjadi operator yang menyogok dan mengugut ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri.
Beliau turut mendakwa kenyataan media menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri juga sudah disiapkan kepada beberapa Ahli Parlimen PN lain termasuk dari Sabak Bernam dan Hulu Terengganu.
Selain itu, beliau mendakwa ia dilakukan seorang ejen yang berkeliaran di Parlimen selama ini menerusi bukti rakaman video yang dimiliki pihaknya.
Kata Farhash, kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mendakwa individu terbabit kononnya adalah seorang yang dikenali ‘Datuk Botak’ dan bekas Setiausaha Politik Presiden PKR iaitu beliau jelas sekali adalah satu tuduhan fitnah.
Beliau menegaskan tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang dakwaan tidak benar dan tidak berasas tersebut.
“Saya sudah lama tidak terlibat dengan kancah politik dan kini hanya menjalankan kehidupan sebagai ahli perniagaan.
“Saya tidak faham mengapa saudara Wan Fayhsal telah melontarkan fitnah sedemikian terhadap saya dengan niat untuk menjatuhkan reputasi dan kehormatan diri saya, demi kepentingan politik beliau,” katanya. – UTUSAN