KANGAR: Tiga Exco termasuk seorang lagi wakil rakyat dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) negeri berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap pentadbiran Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli.
Sokongan tersebut sebagai reaksi balas terhadap Pengerusi Bersatu negeri, Abu Bakar Hamzah yang mempersoal pelantikan Exco serta gesaan agar Mohd Shukri berundur dari jawatan Menteri Besar.
Sokongan tersebut dizahirkan barisan Exco, Izizam Ibrahim; Megat Hashirat Hassan dan Wan Zikri Afthar Ishak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Marzita Mansor,
Timbalan Pengerusi Bersatu negeri merangkap Exco kerajaan negeri, Izizam berkata, barisan Exco khususnya daripada parti itu akan membantu Menteri Besar dan memberi fokus kepada pentabdiran kerajaan negeri demi kepentingan rakyat serta negeri ini.
Katanya, hubungan Bersatu dan Pas termasuk Menteri Besar sangat baik namun disebabkan hanya seorang dua pemimpin cuba mencetuskan keadaan tidak harmoni dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dan kerajaan negeri.
“Kami barisan Exco dari Bersatu menyatakan sokongan penuh kepada Menteri Besar dan kami lebih meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan. Kalau asyik pasal politik tidak akan habis.
“Dalam Bersatu ini tidak ada masalah namun disebabkan seorang dua pemimpin ini sahaja cuba mencetuskan masalah,” katanya.
Terdahulu, Abu Bakar menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap Menteri Besar selepas sekali tidak dipilih sebagai Exco dalam Majlis Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.
Beliau yang juga ADUN Kuala Perlis turut mengesa Mohd Shukri berundur dan mendakwa Menteri Besar itu tidak pernah berbincang soal pelantikan Exco berkenaan dengan majlis pimpinan PN negeri.
Abu Bakar juga memaklumkan rasa dukacita Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Menteri Besar yang tidak menghormati keputusan agar beliau sebagai pemimpin tertinggi Bersatu dan PN negeri itu tidak dilantik sebagai Exco.
Selain itu, Abu Bakar juga mendakwa dua Exco dari Bersatu sebagai dalang dalam percaturan agar beliau tidak dipilih sebagai Exco.
Bagaimanapun, Izizam menafikan perkara tersebut dan menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas. – UTUSAN