MELAKA: Memakai blangkon (topi Jawa) dan berkain pelikat untuk menyambut Deepavali menjadikan etnik Ceti di Kampung Chetti, Gajah Berang di sini mempunyai keunikan tersendiri semasa merayakan perayaan berkenaan.
Keunikan itu merupakan hasil asimilasi masyarakat kampung itu dengan kebudayaan Melayu dan nusantara yang berlangsung lebih 135 tahun.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Pengerusi Persatuan Chetty Melaka, K. Suppiah Pillay, 74, berkata, sama seperti minoriti peranakan lain, etnik Ceti di kampung itu rata-ratanya menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan dan berpakaian seperti orang Melayu, meskipun beragama Hindu.
“Cara kami menyambut Deepavali biasanya bermula dengan mandi dan memakai baju baharu sama seperti masyarakat Melayu, iaitu baju Melayu cekak musang untuk sembahyang di kuil.
“Selepas itu kami akan menunggu saudara mara dan sahabat handai datang beraya. Antara juadah dihidangkan adalah kari ayam atau kari kambing bersama nasi minyak, tat nanas, putu kacang dan tosey,” katanya ketika ditemui di rumahnya.
Etnik Ceti di Melaka berasal-usul sejak dari abad ke-15 apabila pedagang dari India Selatan tiba di negeri ini sebelum berkahwin dengan wanita tempatan dan menetap di sini.
Tambah Suppiah, mereka juga menjadikan pantun dan gurindam sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian.
“Anak-anak dibesarkan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda sehinggalah ke hari ini sama seperti masyarakat Baba Nyonya di Melaka.
“Keadaan ini berlaku sejak kampung ini dibuka pada 1888 apabila pedagang dari India berkahwin dengan penduduk tempatan. Kampung ini mempunyai kira-kira 250 penduduk yang masih kekal dengan keunikan tersendiri,” jelasnya.-UTUSAN