Empat sekolah di Perak terima ancaman bom - Utusan Malaysia

Empat sekolah di Perak terima ancaman bom

MOHD. Yusri Hassan Basri (kanan) dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis Perak menerima empat laporan berhubung ancaman bom palsu melibatkan sekolah-sekolah di negeri ini dalam tempoh empat hari sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, laporan terbaharu berkaitan ancaman itu diterima hari ini membabitkan sebuah sekolah pendidikan khas di Taiping.

“Selepas dua buah sekolah antarabangsa di Ipoh dan Kampar selain sebuah sekolah pendidikan khas di Sitiawan, pagi ini kita terima satu lagi laporan ancaman sama di Taiping.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan yang dijalankan adalah negatif (tiada penemuan objek meragukan),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, meskipun ancaman bom menerusi kiriman e-mel itu didapati palsu, pemeriksaan menyeluruh tetap dijalankan bagi memastikan kawasan tersebut selamat.

Malah katanya, Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan Unit Anjing Pengesan (K9) akan diatur gerak ke lokasi ancaman bom bagi tujuan pemeriksaan.

“Walaupun kebanyakan acaman bom ini adalah palsu tapi kita tidak ambil ringan kerana ini berkaitan kepentingan awam terutama jika melibatkan sekolah dan rumah ibadat.

“Jadi, tindakan akan diambil mengikut SOP (prosedur operasi standard). UPB dan K9 akan jalankan pemeriksaan bagi memastikan tiada ancaman berbahaya,” katanya.

Tambah beliau, siasatan lanjut kes berkenaan diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam sidang akhbar memaklumkan, polis menerima 51 laporan berhubung ancaman bom palsu melibatkan 51 buah sekolah di beberapa negeri.

Menurut beliau, sehingga semalam, 51 sekolah terbabit melibatkan sembilan negeri dengan laporan paling tinggi diterima di Selangor iaitu sebanyak 18 kes.

Katanya, peningkatan laporan itu kerana penerima e-mel lewat membacanya, walaupun ancaman bom palsu itu disebarkan pada waktu yang hampir sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya