KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Earthworm Foundation serta Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) sedang giat menghasilkan sistem amaran awal yang akan memberi amaran kepada pekebun kecil dan peladang tentang kehadiran gajah.
Ketua Projek Program Hutan dan Alam Sekitar di Earthworm Foundation, Khalis Afnan Abdul Rahman berkata, usaha itu dilakukan sebagai tanda komited pihak berkepentingan dalam mencari keseimbangan antara manusia dan kehidupan alam.
“Kita sentiasa komited mengurangkan kerosakan tanaman sawit disebabkan interaksi manusia dan gajah, pada masa yang sama juga untuk memastikan habitat dan kemandirian gajah dalam keadaan terjaga,” katanya.
Beliau ditemui pada Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa (PIPOC) di sini minggu lalu anjuran MPOB yang melibatkan kira-kira 100 panel serta 2,000 peserta yang berkongsi kepakaran, pengalaman dan membincangkan hala tuju industri sawit negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan kongres dwitahunan itu yang melibatkan empat persidangan serentak dan merupakan salah satu pameran terbesar yang mempamerkan teknologi, inovasi, produk dan perkhidmatan terkini dalam industri minyak sawit.
Khalis Afnan berkata, sistem amaran awal itu berfungsi dengan menghantar notifikasi ke telefon bimbit petugas jika gajah datang menyerang pagar yang diletakkan sistem amaran awal dan mereka akan dapat mengenalpasti lokasi gajah itu berada.
“Apabila dapat sahaja notifikasi, pasukan tindakan akan terus terbangkan dron untuk pantau keadaan sebelum tindakan seterusnya diambil,” katanya.
Menurutnya, MPOB, Earthworm Foundation bersama rakan NGO dan universiti juga aktif menjalankan bengkel bagi mempersiapkan pekebun kecil dan peladang dengan langkah dan tindakan yang boleh diambil ketika berhadapan gajah untuk mengelak kejadian tidak diingini.
“Kita dedahkan mereka tentang interaksi antara manusia dan gajah, cara menguruskan situasi dengan berkesan untuk mengurangkan kemasukan gajah dan mengelakkan kemalangan berlaku,” ujarnya.
Katanya, MPOB dan Earthworm Foundation juga giat menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Hidupan Liar Sabah mengenai cara betul mengurus haiwan seperti gajah.
“Mereka tunjukkan cara untuk mengiringi gajah, apa yang patut dilakukan dan yang tidak boleh dibuat apabila berhadapan dengan mamalia itu,” katanya.
Mereka juga komited melaksanakan penilaian awal dengan meneliti situasi bagi mengelak perkara lebih buruk dalam menyelesaikan interaksi antara manusia dan gajah.
“Kita ada melawat pekebun kecil di Sungai Ara, Johor untuk melihat dan memahami sendiri berkenaan konflik manusia dan gajah sebelum kita berikan sebarang solusi,” katanya.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan penyelesaian yang betul digunakan bagi menjaga keselamatan pekebun kecil, peladang dan gajah.
Berdasarkan laporan Perhilitan, konflik manusia dan gajah sejak 2015 hingga 2020 mencatatkan kerugian sebanyak RM30 juta termasuk tanaman sawit RM14 juta pada 2019.
Khalis Afnan berkata, konflik manusia dan gajah menimbulkan gangguan seperti kehilangan pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil, keselamatan dan bekalan makanan terutamanya minyak sawit di pasaran.
“Dengan usaha yang kita lakukan ini, diharap dapat menggalakkan petani untuk berdaya tahan dalam memacu transformasi rantaian bekalan sawit di Malaysia,” katanya. – UTUSAN