KUALA LUMPUR: Cadangan seorang pakar dari China bahawa Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) boleh meningkatkan kelajuannya kepada 351 kilometer per jam (km/j) adalah tidak tepat dan mengelirukan.
Malaysia Rail Link (MRL) dalam kenyataan berkata, kereta api penumpang ECRL hanya dapat mencapai kelajuan maksimum 160 km/j dan bukan kereta api berkelajuan tinggi.
“MRL ingin menekankan ECRL kekal sebagai kereta api laju bagi tujuan penumpang dan tidak boleh dinaik taraf atau bertukar menjadi sebuah kereta api berkelajuan tinggi di bawah spesifikasi kejuruteraan dan sistem pengendalian semasa.
“Laporan berita baru memetik seorang pakar dari China yang mencadangkan kelajuan ECRL boleh dipertingkat ke 351 km/j semasa forum ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dalam ASEAN’ tidak tepat dan mengelirukan,” katanya hari ini.
Semalam, Bernama melaporkan, pakar dari China berharap Malaysia dapat menyiapkan projek ECRL lebih cepat sekali gus menjadi negara kedua di Asia Tenggara memiliki kereta api laju selepas Indonesia.
Naib Presiden Pusat China dan Globalisasi berpangkalan di China, Victor Gao berkata, projek ECRL perlu bagi meningkatkan kelajuan tren ECRL daripada 160 kilometer (km) sejam kepada kemungkinan 351km sejam.
Menurut laman web MRL, jajaran ECRL sejauh 648 kilometer akan merentasi Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum bersambung dengan Lembah Klang dan Pantai Barat Semenanjung Malaysia.
Ia menyatakan pada kelajuan 160km sejam, penumpang tren ECRL dapat menjimatkan masa perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Pengangkutan Bersepadu-Gombak (ITT-Gombak) kepada kira-kira empat jam.
Pada 19 September lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pembinaan projek ECRL telah mencapai kemajuan 53.9 peratus dan berada pada landasan untuk disiapkan menjelang 2027.
Dalam pada itu, MRL berkata, kereta api penumpang ECRL akan bergerak pada kelajuan 160 km/j dan dijadual beroperasi secara komersial pada Januari 2027 dari Kota Bharu, Kelantan ke Terminal Bersepadu Gombak, Selangor.
Katanya, infrastruktur rel meliputi kerja asas pembinaan, trek landasan dan sistem isyarat rel kereta api yang dibangunkan secara khusus pada kelajuan reka bentuk yang kurang daripada 200 km/j.
“Semenjak perasmiannya pada Ogos 2017, projek ECRL merancang, mengurus dan melaksanakan infrastruktur rel berdasarkan kereta api laju untuk membawa penumpang dan bukan kereta api berkelajuan tinggi, iaitu piawaian industri menetapkan kelajuan sekurang-kurang 250 km/j,” katanya. – UTUSAN