KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan baucar buku bernilai RM500 kepada mahasiswa yang menuntut di institut pendidikan tinggi (IPT) di negeri ini, dedah Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ujarnya, inisiatif tersebut akan mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam golongan kalangan berpendapatan rendah dan sederhana dalam menanggung kos pendidikan anak-anak mereka.
“Kita sedar akan keperluan untuk kerajaan bertindak sebagai prihatin dan bertanggungjawab dalam usaha kita mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam golongan ini.
“Justeru, sejumlah RM500 kita akan peruntukkan seorang untuk pelajar IPT Sarawak bagi isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah,” kata Abang Johari.
Jelasnya, bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 35,000 pelajar universiti dan kolej dengan anggaran perbelanjaan RM17.5 juta akan diperuntukkan untuk tujuan berkenaan mulai tahun depan yang akan diuruskan oleh Yayasan Sarawak.
Selain itu, Abang Johari turut mengumumkan inisiatif komputer riba percuma yang turut diberikan kepada pelajar Sarawak yang mendaftar ke IPT.
“Bantuan ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 5,000 pelajar dengan peruntukan RM15 juta. Inisiatif ini merupakan usaha jaminan kerajaan untuk memperkasakan pelajar Sarawak dengan memberi pendedahan penting kepada teknologi terkini seiring keperluan untuk cemerlang dalam usaha akademik mereka.
“Pada masa yang sama, kerajaan juga akan menyediakan pembiayaan untuk tiga lagi skim bantuan pelajar sedia ada di bawah Yayasan Sarawak iaitu Geran tambahan RM5 juta untuk Program Tuisyen Percuma.
“Dengan jumlah tambahan ini, Program Tuisyen Percuma akan menerima pertambahan peruntukan daripada RM10 juta kepada RM15 juta. Kumpulan sasar akan dilanjutkan meliputi tingkatan tiga hingga lima, sekali gus memperluaskan bilangan pelajar yang layak menerima bantuan tersebut,” katanya.
Melalui usaha itu juga, dianggarkan seramai 58,520 pelajar terutamanya daripada isi rumah B40 dijangka mendapat manfaat daripada inisiatif ini pada 2024.
“Program tambahan itu akan menjadi inisiatif pelengkap, termasuk aktiviti motivasi, komponen pembelajaran pintar, memupuk pendekatan komprehensif untuk pengayaan dan kecemerlangan akademik.
“Geran tambahan RM2 juta juga diperuntukan untuk Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah bertujuan memanfaatkan tambahan 10,000 pelajar, menjadikan jumlah pelajar yang dibantu pada 2024 kepada 30,000. Peruntukan ini membantu meringankan lagi beban kewangan keluarga, membolehkan spektrum pelajar yang lebih luas mengakses pakaian dan bekalan sekolah yang penting. Peningkatan ini menjadikan jumlah peruntukan Program Bantuan Pakaian Seragam Sekolah kepada RM6 juta pada 2024,” tambah Abang Johari.
Sehubungan itu, beliau turut mengumumkan pemberian khas RM6 juta kepada Yayasan Sarawak untuk menambah peruntukan sedia ada sebanyak RM3 juta bagi meningkatkan program Biasiswa Tempatan dengan menggandakan jumlah bantuan sedia ada setiap pelajar daripada RM400 kepada RM800.
“Peruntukan ini bertujuan untuk menangani tekanan perbelanjaan harian yang semakin meningkat, memastikan bantuan kepada pelajar kami yang memerlukan meliputi keperluan penting seperti makanan, alat tulis, kasut dan banyak lagi.
“Dijangka memberi manfaat kepada seramai 11,250 pelajar, langkah progresif ini sekali lagi menekankan komitmen kerajaan untuk mengurangkan tekanan kewangan kepada keluarga rakyat Sarawak terutamanya mereka daripada segmen berpendapatan rendah,” katanya lagi.
Justeru, Abang Johari berharap melalui inisiatif ini, para pelajar Sarawak akan terus cemerlang dalam pelajaran dan membantu mereka yang memerlukan langkah untuk maju ke peringkat seterusnya dalam kehidupan.-UTUSAN