GEORGE TOWN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini meluluskan usul solidariti untuk rakyat Palestin yang berdepan kekejaman dan kezaliman rejim Zionis.
Usul berkenaan yang dibawa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diluluskan sebulat suara tanpa sebarang perbahasan selepas mendapat sokongan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
“DUN Pulau Pinang menyatakan solidariti terhadap rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman Zionis kepada mereka.
”Saya tidak bercadang untuk menambah lebih banyak memandangkan ucapan perasmian sidang DUN oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak telah mewakili pendirian kerajaan negeri yang prihatin terhadap isu Palestin,” katanya dalam sidang DUN Pulau Pinang, hari ini.
Pada 17 November lalu, ketika berucap merasmikan sidang DUN Pulau Pinang, Ahmad Fuzi menggesa agar semua tindakan keganasan, pembunuhan dan kezaliman yang berlaku ke atas penduduk Palestin ditamatkan dengan segera.
Ahmad Fuzi berkata, konflik dan peperangan yang masih berterusan telah mengakibatkan penderitaan yang besar kapada rakyat Palestin, dengan orang awam khususnya golongan kanak-kanak dan wanita yang tidak berdosa terbunuh serta ramai yang kehilangan nyawa dan kediaman mereka.
Mengulas lanjut, Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata, ramai ADUN juga turut serta dalam perbahasan sebelum ini membabitkan isu Palestin serta Exco-Exco kerajaan negeri turut menunjukkan pendirian tegas terhadap kekejaman dan kezaliman yang dihadapi rakyat Palestin.
”Saya menyeru dewan yang mulia ini untuk menunjukkan solidariti terhadap Palestin dan saya meneruskan usul ini tanpa perlu dibahas,” katanya. – UTUSAN